Sukan SEA 2027: 14,000 sukarelawan diperlukan, permohonan dibuka 5 Disember

Iklan
Abdul Rashid ketika ditemubual mengenai persiapan penganjuran Sukan SEA ke-34 dan Sukan Para ASEAN ke-14 di Bukit Jalil pada Khamis. Foto: Bernama

KIRA-KIRA 14,000 sukarelawan diperlukan bagi membantu menjayakan Sukan SEA 2027 yang akan berlangsung di Kuala Lumpur, Sarawak, Johor dan Pulau Pinang dari 18 hingga 29 September tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat Penganjur Sukan SEA Malaysia (MASOC) dan Sukan Para ASEAN 2027, Datuk Abdul Rashid Yaakub berkata, jumlah tersebut merangkumi kira-kira 5,000 hingga 8,000 sukarelawan Sukan SEA 2027 diperlukan bagi kluster Kuala Lumpur.

Iklan
Iklan

"Di Pulau Pinang mungkin anggaran 2,000 sukarelawan diperlukan dan Sarawak mungkin dalam 5,000 ke 6,000. Jumlah keseluruhan mungkin akan mencecah kira-kria 14,000 orang bagi keeempat-empat kluster Sukan SEA 2027," katanya dalam satu temu bual eksklusif bersama Bernama di Kuala Lumpur pada Khamis.

Beliau berkata, pihaknya juga memerlukan khidmat 5,000 sukarelawan bagi membantu menjayakan Sukan Para ASEAN (APG) 2027 yang berlangsung di Kuala Lumpur dari 17 hingga 23 Oktober.

Iklan

"Sukarelawan APG mungkin lebih istimewa dan lebih mahir mengendalikan atlet kurang upaya ini," katanya.

Katanya, permohonan untuk menjadi sukarelawan bagi kedua-dua temasya sukan tersebut akan dibuka pada 5 Disember ini, kepada semua peringkat umur termasuk tenaga dari luar negara.

Iklan

"MASOC menyasarkan untuk merekrut sukarelawan dari negara luar khususnya pelajar antarabangsa yang berupaya berkomunikasi dalam bahasa negara peserta terlibat," katanya.

Sementara itu, Abdul Rashid berkata, kira-kira 1,000 permohonan prapendaftaran sukarelawan kedua-dua temasya sukan tersebut sudah diterima setakat ini, menerusi program anjuran kerajaan termasuk Program MADANI Kita sebelum ini.

Beliau berkata, sukarelawan bukan sahaja menerima pakaian, malah turut dipertimbangkan bantuan penginapan, makanan dan pengangkutan sepanjang temasya berlangsung.

"Negara kita memang sangat terkenal dengan penganjuran sukan. Kalau kita tengok baru-baru ini pun dalam penganjuran Formula 1 Grand Prix Gulf Air Bahrain di Litar Antarabangsa Sepang, ramai peminat teruja.

"Dengan kesanggupan rakyat Malaysia untuk terlibat dengan sukan ini, saya yakin ramai mahu turut serta. Jadi saya jemput semua untuk terlibat sebagai sukarelawan Sukan SEA 2027 dan Sukan Para ASEAN 2027," katanya. - Bernama.