PENGENDALI Arsenal, Mikel Arteta tidak dapat menyembunyikan kekecewaan apabila pasukannya gagal memanfaatkan peluang untuk mengukuhkan kedudukan di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas terikat 2-2 menentang Newcastle United.
Keputusan itu menyaksikan The Gunners terlepas peluang untuk melanjutkan rentak kemenangan liga kepada enam perlawanan berturut-turut meskipun menguasai sebahagian besar permainan terutama pada babak pertama.
Arsenal terlebih dahulu berada di hadapan menerusi jaringan Eberechi Eze sebelum Newcastle bangkit menghasilkan dua gol pada babak kedua menerusi Harvey Barnes dan Malick Thiaw.
Bagaimanapun, Noni Madueke menyelamatkan maruah pelawat apabila meledak gol penyamaan untuk memastikan Arsenal membawa pulang satu mata dari St James' Park.
Keputusan itu menyaksikan Arsenal kini mengumpul kelebihan enam mata di puncak liga berbanding Brighton yang berpeluang merapatkan jurang kepada tiga mata sekiranya menewaskan Hull pada Ahad selain Manchester City yang bakal berkunjung ke Emirates pada minggu depan.
Arteta mengakui keputusan tersebut cukup mengecewakan kerana Arsenal sepatutnya mampu meraih kemenangan berdasarkan prestasi yang dipamerkan khususnya ketika beraksi di separuh masa pertama.
"Kami sudah berada di sini selama enam atau tujuh tahun sejak saya mengambil alih pasukan dan ini adalah persembahan terbaik kami di sini. Kami juga pernah menang beberapa kali.
"Sepatutnya perbezaan jaringan jauh lebih besar hari ini, tetapi ia tidak berlaku. Itulah kekecewaan yang dirasai semua pihak, bukan saya seorang, malah pemain turut merasakannya.
"Saya dapat merasakan kekecewaan mereka dan itulah standard yang perlu kami tetapkan," katanya