PENGENDALI Manchester City, Enzo Maresca menyifatkan keputusan pengadil membatalkan jaringan Erling Haaland ketika seri 1-1 menentang Fulham dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Etihad pada Sabtu sebagai tidak tepat.
Dalam aksi di Stadium Etihad itu, skuad kendalian Maresca terlebih dahulu ketinggalan menerusi gol pembukaan awal Rodrigo Muniz sebelum jaringan penyamaan Haaland dibatalkan dalam situasi penuh kontroversi.
Insiden berlaku apabila penyerang City itu menyepak bola daripada pegangan penjaga gol Fulham, Bernd Leno di atas garisan gol.
Bagaimanapun, Leno dilihat belum benar-benar memegang kemas bola dengan kedua-dua tangannya ketika Haaland melakukan sentuhan.
Keputusan berkenaan turut dikekalkan selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) oleh Sam Barrott sekali gus mencetuskan rasa tidak puas hati kem City.
Menurutnya, Haaland sendiri cukup yakin jaringan berkenaan sepatutnya dikira ketika insiden itu sedang disemak oleh VAR.
"Ketika VAR sedang membuat semakan, dia (Haaland) benar-benar yakin itu adalah gol kerana saya bertanya kepadanya dari tepi padang.
"Dia sangat pasti itu gol, tetapi pengadil membuat keputusan berbeza," katanya.
Dalam perlawanan itu, City ketinggalan menerusi jaringan awal Rodrigo Muniz sebelum Elliot Anderson menyelamatkan maruah tuan rumah dengan gol penyamaan pada separuh masa kedua.
Jaringan itu merupakan gol pertamanya dalam saingan liga sejak menyertai City daripada Nottingham Forest pada jendela perpindahan musim panas lalu.
Bagaimanapun, keputusan seri itu menyaksikan City terus bergelut apabila gagal mencatat kemenangan dalam empat perlawanan liga berturut-turut selepas memulakan kempen dengan tujuh kemenangan berturut-turut.
Lebih mengecewakan, penyokong tuan rumah turut menzahirkan kekecewaan apabila pemain City diejek sebaik wisel penamat dibunyikan.
Maresca mengakui pasukannya tidak gembira dengan prestasi semasa, namun menegaskan situasi sukar seperti itu adalah sebahagian daripada perjalanan sesebuah pasukan.
"Kami sememangnya tidak menyukai situasi ini, terutama apabila gagal menang dalam empat perlawanan berturut-turut.
"Namun, kami juga tahu perkara seperti ini boleh berlaku dalam perjalanan sesebuah pasukan.
"Perkara penting sekarang ialah mencari jalan untuk kembali mencatat kemenangan dan memastikan gawang tidak dibolosi. Ada masanya anda perlu menang 1-0," katanya.