SUNGAI PETANI - Seramai 12 anggota polis termasuk pegawai berpangkat inspektor mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan semula memasukkan dadah ke dalam badan, dua tahun lalu.
Kesemua tertuduh termasuk Muhammad Shabri Salamat, 32; Muhammad Hazri Ramle, 42; Mohd Khairi Zakaria, 57; G Selva Kumar, 38 dan S Sarvindran, 30, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Noor Farah Hazwani Osman ketika pertuduhan dibacakan terhadap mereka secara berasingan.
Sementara itu, Wan Muneer Abdullah, 38; Muhammad Azri Zakariya, 37; Mohammad Muizzuddin Mohamad Taib, 31; Khairol Nizam Mohamad, 36; Mohd Fazly Long, 47; Syamsul Ismail, 29 dan Mohd Arami Aluwi, 36, membuat pengakuan tidak bersalah di hadapan Majistret Noor Fazlina Musa.
Mengikut pertuduhan, kesemua mereka berpangkat inspektor, sarjan, koperal dan lans koperal didakwa tanpa kebenaran telah memasukkan ke dalam badan sendiri dadah berbahaya jenis Ketamine dan 3,4-Methylenedioxymethamphetamine (MDMA).
Perbuatan itu dilakukan antara jam 4.20 hingga 7.23 pagi bertempat di bilik bawah sebuah premis di Aman Square di sini 2 Oktober 2024.
Oleh demikian mereka telah didakwa melakukan kesalahan bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum bawah Seksyen 15 Akta Yang Sama.
Jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih dua tahun atau denda tidak lebih RM5,000.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Hazwani Md Noor dan Adlin Sufiya Kamaruzzaman.
Kesemua tertuduh diwakili Peguam Burhanudeen Abdul Wahid, Datuk Suhaimi Ibrahim dan Mohd Khairul Fairuz Rahman.
Mahkamah membenarkan Muhammad Shabri, Muhammad Hazri, Mohd Khairi, Selva Kumar dan Sarvindran diikat jamin sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin.
Manakala di mahkamah berasingan, Wan Muneer, Muhammad Azri, Mohammad Muizzuddin, Khairol Nizam, Mohd Fazly, Syamsul dan Mohd Arami dibenarkan jaminan sebanyak RM1,800 dengan seorang penjamin.
Sebutan semula ditetapkan 30 November depan sebagai tarikh pengurusan kes.
Difahamkan, kesemua mereka menghadapi pertuduhan sama di Mahkamah Majistret di sini pada 2024 namun dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) pada April tahun ini.
Media sebelum ini melaporkan 12 anggota polis digantung tugas serta merta kerana didapati positif dadah dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di sini pada 2 Oktober 2024.