'Kalau Zara ada kesalahan, kami minta maaf'- Ibu sebak beri keterangan

Iklan
Noraidah menunjukkan poster Justice for Zara. Gambar fail

KOTA KINABALU -"Bagi pihak Zara, kalau Zara ada kesalahan, kami meminta maaf," itu kata-kata yang disampaikan Noraidah Lamat, 46, saksi ke-82 dalam inkues kematian anaknya di Mahkamah Koroner di sini pada Khamis.

Noraidah berkata demikian dalam nada sebak sambil beberapa kali mengesat air matanya menggunakan tisu sebelum berhenti seketika semasa menjawab soalan daripada peguam, Shahlan Jufri.

Iklan
Iklan

Ketika menceritakan semula kejadian semasa mengambil barang-barang Zara Qairina di asrama sekolahnya pada 20 Julai 2025 Noraidah berkata, dia bersama adik iparnya, Nur Shira turut dibawa melihat lokasi Zara Qairina dikatakan terjatuh dan tempat mangsa dikatakan memanjat.

Saksi berkata, sebelum mereka tiba di sekolah, dia sudah memaklumkan kepada Inspektor Wong bahawa mereka mahu mendapatkan laporan awal mengenai kejadian itu dan dimaklumkan untuk mengambil barang-barang Zara di sekolah.

Iklan

Katanya lagi, setibanya di sekolah, dia dan Nur Shira disambut dua guru perempuan sebelum dibawa ke sebuah bilik yang dikenali sebagai bilik isolasi atau bilik sakit, tempat barang-barang Zara Qairina diletakkan.

"Saya melihat barang-barang itu diletak di atas meja di kerusi," katanya.

Iklan

Beliau berkata, dia kemudian menyerahkan surat rasmi kepada pihak sekolah untuk mendapatkan maklumat awal mengenai kejadian pada malam tersebut, namun dimaklumkan surat berkenaan akan dimajukan kepada pengetua.

Noraidah berkata, dia dan Nur Shira turut meminta untuk ditunjukkan lokasi Zara Qairina jatuh sebelum dibawa ke bahagian sebuah blok.

"Dua orang guru itu diiringi oleh murid, katanya murid Tingkatan Lima. Kami pergi di bahagian blok itu dan dia tunjukkan, 'di sinilah dia jatuh'. Di tepi longkang.

"Selepas itu kami naik lagi ke atas di tingkat tiga. Dia tunjukkan dengan saya, 'di sinilah dia memanjat'. Kemudian kami berhajat mahu melihat dorm," katanya.

Noraidah berkata, mereka kemudian dibawa ke sebuah dorm dan dia memeriksa almari milik Zara Qairina sebelum mendapati almari berkenaan diikat kerana terlalu uzur selain pintunya hampir jatuh.

"Saya lihat ada lagi barang yang belum habis dikemas. Saya bertanya, 'kenapa ada lagi barang Zara?," katanya.

Noraidah berkata, selepas melihat keadaan almari itu, Nur Shira bertanya kepada murid-murid yang berada di dalam dorm sama ada Zara Qairina mempunyai sebarang kesalahan atau hutang dengan mereka.

"Selepas saya melihat keadaan almari Zara, Puan Shira ada bertanya dengan murid-murid yang ada di dalam dorm itu. Puan Shira berkata begini, 'Zara ada salah dengan kamu'. Mereka menjawab, tiada'. 'Zara ada berhutang apa-apa dengan kamu?, tiada'. Kemudian Puan Shira menyambung, 'Bagi pihak keluarga Zara, kalau Zara ada kesalahan kami minta maaf'.

"Maksud saya begini tuan, bagi pihak keluarga Zara kalau Zara ada kesalahan kami minta maaf," katanya.

Noraidah berkata, ketika berada di tingkat tiga asrama itu, dia hanya berdiam diri selepas guru tersebut memberitahunya bahawa di situlah Zara dikatakan memanjat.

"Saya hanya berdiam diri, saya tidak banyak cakap. Yang banyak respon tentang warden adalah Nur Shira. Puan Shira tidak percaya akan kata-kata Madam Rohayati. Dan saya lihat Puan Shira emosi pada waktu itu, sedih dengan kata-kata yang telah dimaklumkan oleh warden," katanya.

Noraidah berkata, mereka tidak mampu bercakap banyak ketika itu kerana berada dalam keadaan emosi, selain keadaan di asrama yang sibuk kerana hari berkenaan merupakan hari untuk pelajar kembali ke asrama.

"Kami tidak mampu untuk bercakap banyak pada waktu itu, begitu juga Puan Shira. Kami emosi waktu itu. Memandangkan pada waktu itu adalah hari untuk balik ke asrama, keadaan di atas itu waktu itu sibuk. Sibuk dengan murid-murid yang baru sampai asrama.

"Saya ada melihat beberapa orang kawan-kawan Zara menyatakan kepada saya, ‘Hai aunty,’ dan yang lain sibuk mengemas barang masing-masing," katanya.

Noraidah turut memberitahu mahkamah bahawa selepas selesai dari dorm tersebut, dia dan Nur Shira turun dari blok asrama menuju ke kawasan antara dewan makan dan tempat letak kereta.