Saksi nafi pejabat lokasi serahan wang RM350,000 kepada Sayed Amir Muzzakkir tidak wujud

Iklan
Sayed Amir Muzzakkir. Foto fail Bernama

KUALA LUMPUR - Seorang saksi dalam perbicaraan kes rasuah membabitkan bekas setiausaha politik kepada bekas Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin hari ini menafikan bahawa pejabat Yayasan Tanah Aku di Publika, yang didakwa menjadi lokasi penyerahan wang komisen RM350,000 kepada Sayed Amir Muzzakkir Al Sayed Mohamad, tidak wujud.

Pengarah Urusan Nexuscorpgroup Sdn Bhd (NSB), Wan Azhar Mohamed Yusof, 51, berkata demikian ketika disoal balas peguam Datuk Yaacob Md Sam mewakili Sayed Amir Muzzakkir yang berdepan tiga pertuduhan rasuah membabitkan nilai RM350,000 berhubung tender projek Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Iklan
Iklan

Yaacob: Saya katakan pada tuan (Wan Azhar) penyerahan wang RM100,000 pada 4 Disember 2020 dan RM250,000 pada 16 Disember 2020 kepada Sayed Amir Muzzakkir tidak berlaku kerana pejabat tersebut tidak wujud.

Wan Azhar: Tidak setuju.

Iklan

Dalam pernyataan saksinya, Wan Azhar berkata Sayed Amir Muzzakkir memintanya membayar RM350,000 secara tunai bagi sebahagian komisen lima peratus, selepas membantu syarikat NSB mendapatkan tender projek PDRM.

"Saya menyerahkan wang berjumlah RM100,000 yang berada dalam beg kertas kepada Sayed sekitar 4 petang, pada 4 Disember 2020 dan wang berjumlah RM250,000 juga dalam beg kertas diserahkan pada 3.30 petang, 16 Disember 2020. Sewaktu serahan tersebut, hanya saya dan Sayed berdua sahaja,” katanya menerusi pernyataan saksinya.

Iklan

Saksi pendakwaan ke-17 itu berkata beliau bersama seorang pegawai Suruhanjaya Pecegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pergi ke Publika untuk mengenal pasti lokasi berkenaan dan mendapati unit terbabit dalam keadaan tertutup serta tiada papan tanda yang menunjukkan ia adalah pejabat Yayasan Tanah Aku.

Bagaimanapun, Wan Azhar tidak bersetuju dengan cadangan Yaacob bahawa kedua-dua unit berkenaan kosong dan belum diduduki pada 4 dan 16 Disember 2020.

Yaacob: Pemilik premis ada memberi keterangan bahawa sebelum menandatangani perjanjian sewa, kedua-dua unit itu digunakan oleh sebuah firma guaman. Firma berkenaan mengosongkan premis pada hujung 2019. Jadi, kami katakan dari hujung 2019 sehingga 1 Januari 2021, tiada pejabat yang menduduki kedua-dua unit itu. Setuju?

Wan Azhar: Saya hanya pergi ke lokasi itu dua kali, iaitu pada 4 dan 16 Disember 2020. Jadi, saya hanya tahu ia beroperasi pada dua tarikh tersebut. Hari lain saya tidak pasti sama ada ia beroperasi atau kosong.

Pada 23 Mei 2024, Sayed Amir Muzzakkir, 44, didakwa atas dua pertuduhan menerima suapan RM350,000 daripada Wan Azhar Mohamed Yusof, sebagai upah membantu Nexuscorpgroup memperoleh tender RMPNet untuk PDRM bernilai RM381,112,042.44 di pejabat Yayasan Tanah Aku, Solaris Dutamas di sini, masing-masing pada 4 petang, 4 Disember 2020, dan 3.30 petang, 16 Disember 2020.

Sayed Amir Muzzakkir juga dituduh meminta suapan RM350,000 daripada individu sama, bagi tujuan serupa di pejabat Nexuscorpgroup Sdn Bhd di Shah Alam pada awal Disember 2020.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Rosli Ahmad bersambung esok. - Bernama