Hakim Danish mahu bangkit di Mandalika

Iklan
Hakim Danish mahu memberi tumpuan sepenuhnya kepada perlumbaan di Mandalika selepas berdepan tiga insiden kemalangan pada GP Jepun minggu lalu - Foto : FB Hakim Danish.

PELUMBA Moto3 negara, Hakim Danish Ramli bertekad melupakan episod sukar di Jepun dan bangkit dengan aksi lebih kompetitif pada Grand Prix (GP) Indonesia di Litar Antarabangsa Mandalika, hujung minggu ini.

Pelumba AEON Credit-MT Helmets-MSi itu menjadikan pengalaman di Motegi sebagai pengajaran untuk memperbaiki prestasi pada pusingan kedua siri jelajah Asia Kejuaraan Dunia Moto3 2026.

Iklan
Iklan

Hakim Danish mahu memberi tumpuan sepenuhnya kepada perlumbaan di Mandalika selepas berdepan tiga insiden kemalangan pada GP Jepun minggu lalu.

“Saya mahu melupakan sepenuhnya episod kemalangan di Jepun. Apa yang berlaku di Motegi sudah berlalu dan ia menjadi pengajaran berguna untuk saya terus melangkah ke hadapan,” katanya.

Iklan

Menurutnya, pengalaman beraksi di Mandalika ketika menyertai Asia Talent Cup (ATC) kira-kira empat tahun lalu turut memberi sedikit kelebihan menjelang perlumbaan kali ini.

Katanya, karakter litar berkenaan yang mempunyai beberapa selekoh berkelajuan tinggi serta bahagian teknikal, terutama di sektor pertama dan terakhir, memerlukan peningkatan dari segi kelajuan jentera.

Iklan

“Saya perlu meningkatkan lagi kelajuan dan prestasi di bahagian tersebut,” katanya.

Hakim Danish, 19, bagaimanapun masih menjalani proses pemulihan kecederaan bahu dan kini mengikuti sesi fisioterapi secara intensif sebagai persediaan sebelum menjalani latihan bebas Jumaat ini.

Pada GP Jepun, dia melakukan kebangkitan daripada petak ke-21 untuk menamatkan perlumbaan di tempat ke-13, sekali gus mengutip empat mata dan menjadikan keseluruhan koleksinya 105 mata untuk berada di tangga ketujuh kejuaraan.

“Saya mahu fokus kepada sesi fisioterapi untuk kembali pulih sepenuhnya sebelum beraksi di litar minggu ini. Saya sangat bersemangat untuk kembali berlumba dan memberikan yang terbaik di Mandalika demi keputusan membanggakan buat pasukan serta peminat di tanah air,” katanya.