PENGARAH Teknikal skuad berbasikal Malaysia, John Beasley menyifatkan Hannah Yeoh sebagai antara Menteri Belia dan Sukan terbaik yang pernah bekerjasama dengannya sepanjang 21 tahun dalam pembangunan sukan berbasikal negara.
Beasley berkata, pengalaman lebih dua dekad berkhidmat untuk Malaysia menyaksikan beliau bekerja di bawah dua Menteri Belia dan Sukan yang disifatkannya benar-benar cemerlang, dengan Hannah adalah salah seorang daripadanya.
Beliau mengakui berasa sedih apabila mengetahui Hannah tidak lagi menerajui portfolio berkenaan, namun pada masa sama gembira apabila bekas menteri itu diberi peluang memikul tanggungjawab penting yang baharu.
Menurutnya, kejayaan Malaysia pada Sukan Asia Aichi-Nagoya baru-baru ini juga wajar dikaitkan dengan individu yang membantu mewujudkan persekitaran dan momentum positif sebelum temasya berkenaan.
Jurulatih dari Australia itu akan meninggalkan skuad berbasikal kebangsaan pada 31 Oktober ini dan akan menyertai Jepun.
Beasley berkata, pendekatan kepimpinan Hannah turut memberi keyakinan kepada jurulatih dan pegawai sokongan untuk melaksanakan tugas masing-masing dengan lebih baik.
"Anda membuatkan jurulatih berasa dihargai. Perkara itu lebih penting daripada apa yang kadangkala disedari oleh orang ramai," katanya.
Beliau menambah, apabila jurulatih dan pasukan sokongan diberikan hala tuju jelas, kepercayaan serta kepimpinan yang kukuh, ia membantu mereka memberikan komitmen lebih tinggi demi kepentingan atlet.
Beasley turut menyifatkan Hannah sebagai pemimpin yang mempunyai pendekatan tegas, namun pada masa sama mempunyai keinginan tulen untuk melakukan perubahan bermakna dalam sukan negara.
"Di sebalik pendekatan tanpa kompromi itu, terdapat keinginan sebenar untuk membawa perubahan bermakna dan meninggalkan sukan Malaysia dalam keadaan lebih baik berbanding ketika anda mula memegang portfolio itu," katanya.
Beliau percaya Hannah berjaya mencapai matlamat berkenaan sepanjang tempoh menerajui Kementerian Belia dan Sukan, sekali gus meninggalkan kesan yang akan terus dirasai dalam kalangan mereka yang terbabit dalam pembangunan atlet.
Beasley berkata, sekiranya Hannah masih menerajui sukan negara, beliau mungkin masih kekal memberikan sepenuh perhatian kepada usaha membangunkan atlet Malaysia bertaraf dunia serta memperkukuh sistem prestasi tinggi untuk generasi seterusnya.
"Saya sering terfikir bahawa jika anda masih menerajui sukan Malaysia, mungkin saya tidak akan pergi ke mana-mana. Saya masih akan sepenuhnya fokus kepada misi itu," katanya.