NEYMAR tampil menitipkan penghormatan penuh emosi buat sahabat baiknya, Lionel Messi yang menutup tirai karier antarabangsa bersama Argentina.
Messi membuat penampilan terakhirnya bersama skuad Albiceleste ketika berdepan Benin dalam aksi persahabatan di Stadium Monumental, Buenos Aires pada Rabu.
“Bukan Argentina sahaja yang berterima kasih kepada kamu, tetapi seluruh dunia berterima kasih atas segala yang telah kamu lakukan untuk bola sepak.
“Terima kasih kerana membuatkan saya lebih mencintai bola sepak. Satu penghormatan untuk saya bermain menentang kamu dan lebih besar lagi apabila dapat mencipta sejarah bersama kamu.
“Terima kasih, Leo,” kata Neymar dalam mesej yang dikongsikannya di media sosial.
Neymar dan Messi pernah membentuk gandingan berbisa bersama Luis Suarez di Barcelona sebelum kembali bergandingan di Paris Saint-Germain (PSG).
Ketiga-tiga pemain berkenaan antara tonggak utama Barcelona ketika era kegemilangan kelab Catalan itu sekali gus membina hubungan yang kekal akrab walaupun masing-masing membawa haluan berbeza.
Messi pernah melalui episod kekecewaan selepas gagal menjulang trofi utama bersama Argentina sebelum akhirnya menamatkan penantian dengan kejayaan Copa America 2021.
Selepas itu, Messi membawa Argentina menjuarai Piala Dunia 2022 sebelum terus mengukuhkan statusnya sebagai antara pemain terhebat dalam sejarah bola sepak.