Pemulihan LCS umpama 'tikus baiki labu'

Iklan
Kapal tempur pesisir milik TLDM yang sedang dalam proses pembinaan di Lumut Naval Shipyard. - Foto: Bernama

PUTRAJAYA - Biarpun berbilion ringgit wang rakyat telah dibelanjakan dan pelbagai pelan pemulihan dirangka kerajaan, status projek Kapal Tempur Pesisir (LCS) 1 disifatkan tidak ubah umpama 'tikus membaiki labu'.

Penganalisis pertahanan, Zaki Salleh menegaskan, penyerahan kapal secara bersyarat membuktikan bahawa pelan pemulihan projek pembinaan kapal perang tersebut masih gagal mencapai objektif asalnya.

Iklan
Iklan

Menurutnya, penerimaan bersyarat itu tidak memberi sebarang nilai fungsional sebagai sebuah aset perang sebenar buat Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

"Jika kapal diserah pada Disember 2026 tetapi sistem persenjataan, latihan, integrasi dan sokongan kritikal masih belum lengkap, maka projek LCS tidak ubah umpama 'tikus membaiki labu' kerana pelan pemulihan tidak berjalan seperti dirancang.

Iklan

"Berbilion ringgit telah dihabiskan dalam projek ini, tapi pada akhirnya TLDM tidak mendapat apa yang sepatutnya mereka peroleh," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai implikasi pendedahan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) yang mendapati wujud risiko LCS 1 diserah kepada TLDM tanpa keupayaan tempur yang lengkap.

Iklan

Terdahulu, LKAN 2/2026 yang dibentangkan Dewan Rakyat pada Isnin mendedahkan, kemajuan Projek LCS didapati mencatatkan kelewatan sebanyak 7.55 peratus.

Setakat 25 Jun lalu, kelewatan kemajuan pembinaan bagi projek tersebut adalah antara 30 hingga 108 hari.

Pendedahan yang lebih membimbangkan dalam laporan tersebut adalah risiko membabitkan penyerahan fizikal (PHO) kapal pertama iaitu LCS 1 kepada TLDM tanpa mencapai tahap keupayaan operasi penuh.

Laporan Sinar Harian pada Selasa.

Mengulas lanjut, Zaki menjelaskan, biarpun kapal yang diserahkan itu masih boleh digunakan untuk latihan kru, ujian sistem di laut (sea training), pembangunan prosedur operasi serta kerja integrasi, namun ia sekadar platform terapung biasa.

Tegas beliau, kegagalan menyiapkan kapal mengikut jadual asal tidak harus 'ditutup' semata-mata dengan penyerahan kapal fizikal yang belum bersedia bertempur.

"Ukuran sebenar (kejayaan projek) bukan pada tarikh kapal itu diserahkan. Sebaliknya, ia diukur pada tarikh bila TLDM benar-benar boleh gunakan aset itu untuk melaksanakan misi tempur yang dirancang," ujarnya.

Kekecewaan itu jelas Zaki, turut didorong oleh kelemahan ketara dalam penyelarasan kontrak kerajaan, terutamanya jurang masa lima tahun antara tamatnya kontrak utama pada 25 April 2030 berbanding kontrak pelengkap yang dijangka hanya disempurnakan pada Disember 2035.

Beliau menambah, jurang didedahkan LKAN itu membuktikan kegagalan kerajaan dalam menyelaraskan pembinaan fizikal dengan sistem pertahanan peperangan empat dimensi (4D) yang amat kritikal.

"Ini penting kerana nilai sebenar kapal perang terletak pada gabungan platform, sistem tempur, persenjataan (Anti-Permukaan, Pertahanan Udara, Anti-Kapal Selam, Peperangan Elektronik) dan keupayaan anak kapal.

"Jadi persoalan besarnya sekarang bukan sekadar kenapa kapal ini lambat, tetapi kenapa penyelarasan antara pembinaan fizikal dan sistem senjata tidak dapat diselesaikan dalam satu garis masa sama?

"Jika diterima kelak tanpa integrasi penuh sistem ini, armada LCS kita hanyalah sebuah kapal peronda biasa yang langsung tidak digeruni," katanya.