KUALA LUMPUR – Sebanyak 17 inisiatif keselamatan yang sebelum ini dilaksanakan di pintu masuk utama negara akan diperluaskan ke lokasi strategik lain termasuk pangkalan keselamatan udara, darat dan laut di seluruh negara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, langkah itu sedang diteliti susulan beberapa insiden terbaharu membabitkan cubaan penyeludupan dadah di lokasi strategik, termasuk kemudahan di bawah seliaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Beliau berkata, perbincangan lanjut akan diadakan bersama Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Ketua Polis Negara dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) bagi meneliti keperluan memperluaskan pelaksanaan inisiatif berkenaan.
"Kita ada pangkalan gerak udara polis, tentera ada pangkalan TUDM dan segala macam. Bukan sahaja darat, laut, bahkan udara, kita akan tengok semua sekali mengenai langkah yang patut kerajaan ambil," katanya ketika ditemui selepas majlis PDRM Fun Run 2026 di Dataran Merdeka, di sini, pada Ahad.
Saifuddin sebelum itu diminta mengulas kebimbangan mengenai dakwaan Malaysia berisiko menjadi hab pengedaran dadah antarabangsa susulan beberapa kes penahanan membabitkan rakyat dan pesawat sewaan dari negara ini di Jakarta, Laos dan Jepun, selain penemuan dadah di pangkalan TUDM.
Media sebelum melaporkan seramai 11 suspek ditahan di sekitar Lembah Klang dan Labuan kerana disyaki terbabit dalam kegiatan pengedaran 96.64 kilogram dadah menggunakan aset TUDM.
Pengarah JSJN, Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada lima pegawai TUDM dan enam orang awam susulan penemuan dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM4.83 juta.
Sementara itu, Saifuddin menolak dakwaan bahawa Malaysia kini sudah menjadi hab transit dadah dengan menegaskan kegiatan risikan polis dilaksanakan secara berterusan bagi mengesan aktiviti berkenaan.
Mengulas penemuan dadah di kemudahan TUDM, beliau berkata, kejayaan mengesan kegiatan itu adalah hasil kerjasama strategik dan perkongsian maklumat risikan antara JSJN dengan TUDM yang bermula sejak pertengahan tahun ini.
"Intipan Bahagian Narkotik ini sepanjang masa, 365 hari setahun dan intipan mereka tidak pernah tidur, apabila menerima maklumat perisikan, mereka berkongsi dengan agensi yang mempunyai kawalan ke atas premis itu, dalam kes ini TUDM.
"Bertindak di atas ketepatan maklumat itulah, pada hari kejadian, TUDM telah mengesan bagasi yang mencurigakan sebelum tangkapan dibuat dan pihak kita ambil alih (siasatan).
"Kita akan menyiasat sepenuhnya kerana insiden ini memberi implikasi besar kepada negara dan ia membawa kepada beberapa siri tangkapan lain membabitkan anggota pasukan beruniform serta orang awam," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pelaksanaan 17 inisiatif kawalan keselamatan yang sebelum ini dibentangkan di Parlimen dirangka menerusi tiga fasa dan kini sedang beralih ke fasa kedua.
Katanya, fasa pertama memberi tumpuan kepada pemeriksaan 100 peratus terhadap bagasi dan penumpang bagi penerbangan ke destinasi popular yang dikenal pasti menjadi sasaran penghantaran dadah.
"Kita sekarang akan memasuki fasa kedua yang berupa usaha melengkapkan lagi beberapa peralatan (imbasan dan kawalan) di semua pintu masuk," katanya.