61 peratus rakyat Malaysia tiada simpanan kecemasan RM1,000 - Fadillah

Iklan
Sebanyak 37 peratus rakyat juga tidak mempunyai simpanan yang mencukupi untuk menampung perbelanjaan selama tiga bulan sekiranya kehilangan pekerjaan. Foto hiasan

KUCHING - Sebanyak 61 peratus rakyat Malaysia tidak mempunyai simpanan sekurang-kurangnya RM1,000 untuk tujuan kecemasan berdasarkan laporan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi 2024.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, keadaan itu bermakna sebahagian besar rakyat tidak mempunyai simpanan mencukupi untuk menghadapi perkara tidak dijangka.

Iklan
Iklan

Selain itu, beliau berkata, sebanyak 37 peratus rakyat juga tidak mempunyai simpanan yang mencukupi untuk menampung perbelanjaan selama tiga bulan sekiranya kehilangan pekerjaan.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian program Juh Kita Melabur, Anak Sarawak di cawangan Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) Kuching, di sini pada Ahad.

Iklan

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ASNB, Fadzihan Abbas Mohamed Ramlee berkata, pendidikan kewangan perlu diterapkan sejak usia muda bagi membentuk generasi yang lebih bijak mengurus kewangan.

Beliau berkata, pemahaman awal tentang nilai wang, kepentingan menyimpan dan asas pelaburan akan membantu golongan muda membuat keputusan kewangan yang lebih baik apabila memasuki alam dewasa.

Iklan

"Kami juga amat menghargai sambutan yang diberikan oleh rakyat Sarawak terhadap pelbagai program pendidikan kewangan yang telah dianjurkan sebelum ini.

"Sambutan tersebut menunjukkan bahawa minat untuk belajar, menyimpan dan melabur sememangnya wujud dalam kalangan masyarakat di negeri ini,” katanya.

Berlandaskan hubungan dan kepercayaan yang telah dibina itu, Fadzihan berkata, ASNB memperkenalkan Kempen Juh, Melabur Menang Mas, khusus untuk rakyat Sarawak.

Beliau berkata, kempen yang berlangsung dari 1 November hingga 31 Disember itu terbuka kepada pemegang unit yang memenuhi syarat kelayakan sebagai peserta dari Sarawak.

Menerusi kempen itu, setiap pelaburan bersih terkumpul sebanyak RM5,000 yang dibuat dan dikekalkan sehingga tamat tempoh kempen akan melayakkan peserta menerima satu penyertaan automatik untuk cabutan bertuah, tertakluk pada terma dan syarat. - Bernama