5,000 peserta dijangka hadiri Persidangan Pembinaan Negara Bangsa 2026

Iklan
Aaron Ago Dagang

SHAH ALAM - Seramai 5,000 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat dijangka menghadiri Persidangan Pembinaan Negara Bangsa 2026 yang bakal berlangsung selama tiga hari bermula 30 November ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, persidangan itu memberi tumpuan kepada peranan golongan belia sebagai ejen utama dalam membina negara bangsa dalam membentuk identiti nasional yang kukuh.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, generasi muda bukan sahaja perlu memahami sejarah serta asas kenegaraan, malah perlu memainkan peranan aktif dalam menyemai semangat patriotisme dan memperkukuh perpaduan dalam kepelbagaian.

"Pembinaan negara bangsa bukan hanya tanggungjawab Kerajaan, tetapi tanggungjawab bersama seluruh rakyat Malaysia.

Iklan

"Justeru, penglibatan aktif generasi muda amat penting bagi memastikan aspirasi membina sebuah Bangsa Malaysia yang bersatu padu, beridentiti nasional dan mempunyai semangat kebersamaan dapat diteruskan merentasi generasi," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Aaron berkata, persidangan itu bukan sekadar platform wacana akademik, sebaliknya menjadi medan menghimpunkan pemikiran, pengalaman dan aspirasi pelbagai pihak dalam membentuk persefahaman mengenai hala tuju pembinaan negara bangsa.

Iklan

Tambah beliau, dalam konteks Malaysia yang kaya kepelbagaian etnik, agama, budaya dan bahasa, usaha pembinaan negara bangsa perlu berteraskan nilai kebersamaan, semangat kekitaan serta rasa kepunyaan terhadap negara tanpa menghakis keunikan setiap kaum.

"Kementerian meminta seluruh rakyat khususnya golongan belia, mahasiswa dan generasi muda untuk bersama-sama menyertai persidangan ini serta mengambil bahagian secara aktif dalam wacana mengenai masa depan negara.

"Hasil perbincangan dan pandangan yang diketengahkan sepanjang persidangan ini dapat menjadi input strategik dalam memperkaya pelaksanaan agenda Pembinaan Negara Bangsa, sekali gus memperkukuh komitmen seluruh lapisan masyarakat ke arah pembentukan sebuah negara yang bersatu padu, harmoni dan mempunyai jati diri nasional yang kukuh," katanya lagi.

Persidangan anjuran Kementerian Perpaduan Negara bakal menghimpunkan tokoh akademik, ahli sejarah, pakar pelbagai bidang dan pemimpin masyarakat bagi membincangkan empat tema utama, termasuk Perlembagaan dan Rukun Negara sebagai teras pembinaan negara bangsa serta warisan dan sejarah sebagai akar identiti nasional.

Turut dibincangkan ialah aspek kepelbagaian, keharmonian dan kesepaduan sosial serta transformasi negara bangsa yang merangkumi naratif nasional, ekonomi inklusif dan modal insan.

Antara pengisian utama ialah syarahan Negarawan yang akan disampaikan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dengan tumpuan kepada perspektif kenegaraan, perpaduan dan masa depan negara.

Majlis perasmian penutup pula dijadual disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 Disember ini.