KUANTAN - Seorang jiran mendakwa kali terakhir melihat pelajar perempuan berusia 19 tahun yang ditemui maut dipercayai dibunuh di sebuah bilik sewa di Jalan Air Putih 2, di sini, bersama teman lelakinya sebelum kejadian.
Jiran yang enggan dikenalinya, 40, itu berkata, sepanjang lebih enam bulan mengenali mangsa, dia tidak pernah melihat pelajar berkenaan berdepan sebarang masalah.
Menurutnya, lelaki berkenaan merupakan individu pertama yang dilihatnya bersama mangsa sejak sebulan lalu.
ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar 19 tahun maut dipercayai dibunuh di bilik sewa
"Pagi tadi, bila dapat tahu kejadian seperti ini, kami semua terkejut dan tak tahu apa yang berlaku,” katanya ketika ditemui di Jalan Air Putih di sini pada Selasa.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan seorang pelajar maut disyaki dibunuh di sebuah bilik sewa selepas dipercayai berlaku perselisihan faham dengan teman lelakinya pada awal pagi Selasa.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 4.32 pagi daripada teman lelaki mangsa yang memaklumkan kejadian tersebut.
Jiran yang juga peniaga bunga itu berkata, mangsa bersama tiga rakan perempuannya kelihatan seperti biasa dan tidak menunjukkan sebarang kelakuan pelik.
Ujarnya, sebagai jiran, dia mengakui turut menegur mereka supaya berhati-hati ketika keluar berjalan kaki.
Sementara itu, rakan kepada mangsa yang juga enggan dikenali, 19, berkata, mangsa merupakan kenalan biasa walaupun belajar dalam kelas berbeza di sebuah institusi pengajian tinggi di daerah ini.
Menurutnya, mangsa juga seorang yang banyak bercakap dan suka ketawa ketika bersama rakan-rakan.
“Saya baru kenali mangsa beberapa bulan lalu dan dia memang baik, soft spoken dan selalu tolong orang,” katanya ringkasnya.