KUALA LUMPUR - Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) akan diberi autoriti untuk mengakses bilik kawalan kamera litar tertutup (CCTV) Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi mempertingkatkan kawalan keselamatan di pintu masuk negara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata perkara itu telah dibincangkan dengan MAHB dan persetujuan terhadap mekanisme berkenaan telah dicapai, namun pelaksanaannya kini masih pada peringkat pentadbiran.
"Di sana (lapangan terbang), kawalan yang lebih lengkap adalah di bawah MAHB dan ada lebih 5,000 kamera televisyen litar tertutup di Terminal 1 dan Terminal 2 KLIA.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) yang ingin tahu sejauh mana National Immigration Command Centre (NICC) berfungsi dalam menyediakan maklumat keselamatan dan risikan bagi membolehkan langkah pencegahan terhadap ancaman keselamatan di lapangan terbang diambil lebih awal oleh pihak berkuasa.
Bagi meningkatkan lagi kawalan keselamatan di KLIA, Saifuddin Nasution berkata AKPS juga akan melengkapkan sistem sedia ada dengan pemasangan CCTV tambahan di kawasan yang dikenal pasti sebagai titik buta (blind spot).
Berhubung kes video tular membabitkan Ketua Pengarah AKPS Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain baru-baru ini, beliau berkata kebocoran rakaman CCTV dalaman KLIA yang tersebar itu turut menjadi antara aspek yang diberi perhatian dalam siasatan polis.
Beliau berkata Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) akan menyerahkan laporan awal kepada Jabatan Peguam Negara hari ini bagi menentukan sama ada kertas siasatan berkenaan telah lengkap atau memerlukan tindakan lanjut.
"Bagaimana mungkin sejurus selepas insiden itu (rakaman CCTV) kemudian tersebar dengan luas? … kalau puncanya ialah 5,000 CCTV bermaksud perkara itu di bawah kawalan MAHB.
"Apakah kebocoran bermula di situ atau membawa kepada rakaman sekunder dan sebagainya? Hal itu juga aspek yang sekarang ini menjadi fokus jawatankuasa siasatan terhadap kes itu,” katanya. - Bernama