PONTIAN - Seorang janda ditahan bersama bekas suaminya oleh penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) selepas disyaki berkhalwat di sebuah rumah di daerah ini, kira-kira jam 1.40 pagi.
Wanita dan lelaki berusia lingkungan 30-an itu dipercayai sudah bercerai lebih setahun lalu, namun masih mempunyai dua anak hasil perkahwinan mereka sebelum ini.
Menurut kenyataan JAINJ, pemeriksaan pada Jumaat itu dilakukan selepas pihaknya menerima aduan awam berhubung kehadiran seorang lelaki di rumah wanita terbabit pada awal pagi.
“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat seorang lelaki berada di rumah wanita berkenaan.
“Turut berada di dalam rumah itu ialah dua anak mereka yang sedang tidur di ruang tamu ketika penguat kuasa tiba,” menurut kenyataan itu.
Menurut JAINJ, hasil pemeriksaan lanjut mendapati lelaki dan wanita terbabit pernah mendirikan rumah tangga sebelum ini, namun sudah bercerai lebih setahun lalu.
Kedua-duanya juga bekerja di Pontian dan lelaki berkenaan memberi alasan kehadirannya ke rumah itu adalah untuk menjenguk anak-anak mereka.
Bagaimanapun, alasan berkenaan menimbulkan persoalan kerana lelaki itu datang pada waktu awal pagi ketika kedua-dua anak mereka sudah tidur.
“Alasan lelaki datang adalah untuk melihat anak, tetapi masalahnya ketika itu sudah jam 1.40 pagi dan anak pula sudah tidur.
Susulan pemeriksaan berkenaan, pasangan terbabit ditahan atas kesalahan khalwat mengikut Seksyen 27.
Dalam pada itu, JAINJ turut menasihatkan pasangan berkenaan supaya segera menguruskan pernikahan sekiranya masih mempunyai perasaan antara satu sama lain dan berhasrat meneruskan hubungan.
Menurut kenyataan itu, mereka boleh hadir ke Pejabat Kadi Pontian untuk berurusan dengan pegawai berkaitan bagi mendapatkan panduan serta memulakan proses permohonan nikah.
“Pasangan ini dinasihatkan supaya bernikah segera kerana kedua-duanya sudah suka sama suka.
“Mereka boleh datang berurusan di Pejabat Kadi Pontian untuk proses permohonan nikah sebelum urusan akad nikah dilaksanakan,” menurut kenyataan itu.
JAINJ turut menjelaskan bahawa pasangan yang telah bercerai tidak boleh sewenang-wenangnya kembali menjalani kehidupan seperti suami isteri tanpa mengambil kira hukum syarak dan ketetapan berkaitan rujuk.
Ini kerana, rujuk hanya boleh dilakukan dalam tempoh edah bagi perceraian yang membolehkan pasangan berbuat demikian.
Sehubungan itu, masyarakat diingatkan supaya memahami hukum dan batas pergaulan selepas perceraian, selain mendapatkan nasihat pihak berkuasa agama sekiranya berdepan kemusykilan berkaitan status perkahwinan.