Parti 'lipas' jadi hala tuju politik anak muda

Iklan
Seorang penyokong Cockroach Janta Party mengibarkan bendera kebangsaan ketika menyertai demonstrasi membantah Ketua Pesuruhjaya Pilihan Raya, Gyanesh Kumar, serta mendesak agar Semakan Intensif Khas (SIR) daftar pemilih digantung di Mumbai, India, pada 2 Oktober 2026. Foto: AFP/Rafiq Maqbool

NEW DELHI – Bermula daripada satu penghinaan, gerakan anak muda India kini berkembang menjadi sebuah gerakan politik yang menggunakan nama luar biasa, iaitu Cockroach Janta Party (CJP).

Parti yang secara literal membawa maksud Parti Rakyat Lipas itu diasaskan oleh Abhijeet Dipke, seorang anak muda India yang ketika itu sedang melanjutkan pengajian sarjana di Boston.

Iklan
Iklan

Nama tersebut tercetus selepas Ketua Hakim India, Surya Kant, pada Mei lalu mengeluarkan kenyataan yang disifatkan menghina golongan belia menganggur dan aktivis dalam talian dengan menyamakan mereka sebagai “lipas”.

Daripada tersinggung dengan gelaran itu, Dipke memilih untuk menjadikannya sebagai identiti gerakan. Beliau kemudiannya menghasilkan imej kecerdasan buatan (AI) seekor lipas memakai cermin mata hitam dan sedang berucap kepada orang ramai sebelum menubuhkan Cockroach Janta Party, sebagai permainan nama terhadap parti pemerintah Bharatiya Janata Party (BJP).

Iklan

CJP pada asalnya muncul sebagai gerakan satira, namun kemudiannya mendapat sokongan besar golongan muda yang tidak berpuas hati dengan isu pengangguran, sistem pendidikan dan ketelusan kerajaan.

Gerakan itu mendapat momentum selepas demonstrasi besar-besaran berkaitan kebocoran kertas peperiksaan di India.

Iklan

Tekanan daripada gerakan berkenaan akhirnya menyumbang kepada peletakan jawatan Menteri Pendidikan India, Dharmendra Pradhan, menurut laporan Reuters Institute.

Namun, perjuangan CJP kini tidak lagi tertumpu kepada sistem pendidikan. Pada 2 Oktober lalu, ratusan penyokongnya berhimpun di Mumbai bagi memulakan kempen baharu yang menuntut peletakan jawatan Ketua Pesuruhjaya Pilihan Raya India, Gyanesh Kumar.

Mereka mendakwa proses semakan daftar pemilih menyebabkan jutaan pengundi yang layak dikeluarkan daripada senarai, dakwaan yang dinafikan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya India.

Jurucakap CJP, Saurav Das, berkata gerakan tersebut akan meneruskan protes di beberapa bandar lain.

“Kami akan mengadakan protes di Mumbai, Goa, Kolkata dan Bangalore sepanjang bulan ini," katanya.

CJP mendakwa gerakan itu mewakili golongan muda yang merasakan mereka tidak diberi ruang dalam sistem politik sedia ada.

Malah, laman rasmi parti itu sendiri menggunakan slogan “Voice of the Lazy & Unemployed” atau suara golongan malas dan penganggur, sebagai sindiran terhadap label yang dikenakan ke atas golongan muda.

Di sebalik nama yang kedengaran lucu itu, CJP mengemukakan beberapa tuntutan politik termasuk reformasi pilihan raya, peningkatan perwakilan wanita serta isu kebebasan media.

Gerakan tersebut turut menarik perhatian kerana menggunakan budaya internet, meme dan bahasa satira untuk menyampaikan mesej politik kepada generasi muda.

Menurut Reuters Institute for the Study of Journalism, kebangkitan gerakan “Cockroaches” mencerminkan rasa tidak percaya sebahagian golongan muda India terhadap institusi politik dan media arus perdana.

Daripada gelaran menghina kepada identiti perjuangan, “lipas” yang pada awalnya hanya bahan sindiran kini menjadi simbol gerakan anak muda India yang mahu suara mereka didengari.