KUALA LUMPUR - Kertas siasatan berhubung video tular membabitkan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara pada Selasa.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, kertas itu akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk penelitian, nasihat dan arahan selanjutnya, selaras dengan Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan.
Mohd Khalid berkata, pihaknya telah menerima laporan daripada dua anggota polis berhubung dakwaan bahawa mereka telah dikasari secara fizikal oleh Ketua Pengarah AKPS.
"Setakat ini, seramai 25 orang saksi telah dirakam percakapan, terdiri daripada pegawai dan anggota PDRM, pegawai AKPS, anggota polis bantuan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), pekerja sistem pengendalian bagasi, pegawai perubatan serta saksi bebas," katanya.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Mohd Shuhaily menyerahkan kepada kerajaan berhubung tindakan yang mungkin dikenakan susulan video tular yang memaparkan dirinya memarahi seorang individu di KLIA Terminal 1.
Mohd Shuhaily dilaporkan berkata, perkara berkenaan telah dimaklumkan kepada peringkat tertinggi kerajaan serta KDN dan beliau bersedia menerima sebarang keputusan berhubung isu itu.
Mengulas lanjut Mohd Khalid memaklumkan polis memberi jaminan bahawa siasatan dilaksanakan secara telus, profesional dan tanpa memihak, berasaskan keterangan saksi serta bukti yang diperoleh bagi memastikan setiap aspek kejadian diteliti secara menyeluruh.
"Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau kesimpulan yang boleh menjejaskan proses siasatan dan perundangan yang sedang berjalan," katanya.
Terdahulu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, proses siasatan termasuk mengambil keterangan dan mengumpul bukti sedang dijalankan bagi melengkapkan kertas siasatan berkenaan.
Saifuddin Nasution berkata, proses sewajarnya akan dilaksanakan dan keputusan berkaitan kes itu hanya akan dimaklumkan kepada khalayak selepas proses berkenaan selesai.
Dalam pada itu, beliau berkata, AKPS mempunyai tanggungjawab besar dalam memastikan keselamatan dan kedaulatan pintu masuk negara tidak tercemar dengan isu integriti.