TAWAU - Dua beradik termasuk kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) ditemukan rentung selepas terperangkap dalam kebakaran rumah teres di Taman Ria, di sini, pada awal pagi Jumaat.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, mayat remaja lelaki berusia 13 tahun dan adik perempuannya yang OKU berusia 10 tahun masing-masing ditemukan di bilik tingkat atas.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 6.13 pagi.
Katanya, seramai 16 anggota dikejar ke lokasi yang terletak sejauh tujuh kilometer dari BBP Tawau.
"Kebakaran melibatkan sebuah rumah teres dua tingkat jenis kekal yang musnah sebanyak 70 peratus.
"Menurut laporan, seramai enam mangsa terlibat di mana empat daripadanya yang terdiri daripada ibu dan adik beradik lain berjaya menyelamatkan diri serta keluar sendiri dari rumah yang terbakar sebelum pasukan bomba tiba.
"Manakala dua lagi adik beradik masih terperangkap dan usaha penyelamatan dilakukan oleh pasukan bomba dengan memadam kebakaran," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Bagaimanapun katanya, dua mangsa tersebut ditemukan dalam keadaan rentung.
"Mayat dua beradik termasuk seorang kanak-kanak autisme ditemukan rentung di bilik atas dan mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
"Operasi ditamatkan pada jam 9.06 pagi selepas memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian," katanya.