BATU PAHAT - Aspek keselamatan murid di sekolah perlu diberi perhatian dan tindakan sewajarnya bagi memastikan insiden kematian pelajar Tingkatan Empat, Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal tidak berulang.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kerajaan negeri bersedia membantu bagi memastikan keselamatan anak-anak di sekolah terus diberi keutamaan.
"Insya-ALLAH kerajaan negeri akan bantu dari segi keperluan asas termasuk kamera litar tertutup (CCTV).
"Kita semua sedar dari segi apa yang boleh kita bantu di peringkat kerajaan negeri, kita akan bantu. Namun, ada ribuan sekolah di Johor dan puluhan ribu sekolah di Malaysia, dan ini di bawah kementerian.
"Sebab itu saya rasa perkara ini perlu dilihat dengan lebih teliti oleh pihak kementerian. Saya akan berhubung dengan pihak kementerian," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menziarahi keluarga Irene Sofiya di Kampung Parit Selamat, Yong Peng di sini.
Pada Sabtu, Irene Sofiya, 16, ditemukan dalam keadaan berlumuran darah dan tidak sedarkan diri di dewan sebuah sekolah menengah di Yong Peng.
Susulan itu, seorang remaja lelaki berumur 16 tahun yang juga rakan sekelas mangsa ditahan sebelum direman enam hari bermula Ahad bagi membantu siasatan.
Sementara itu, Exco Pendidikan dan Penerangan Johor, Dr Muhammad Naqib Md Ghazali berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan bersama Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) bagi meneliti aspek keselamatan di sekolah.
Katanya, langkah itu termasuk menilai semula prosedur operasi standard (SOP) sedia ada serta mengenal pasti sebarang kelemahan dan kekurangan yang perlu diperbaiki.
"Esok, saya panggil semua JPN dan juga PPD untuk kita duduk balik. Kita lihat balik SOP juga, di mana ada kelemahan dan kekurangan.
"Saya rasa perkara ini tak boleh dimain-mainkan lagi sebab ia mempengaruhi kehilangan nyawa," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar ditemui maut di sekolah disyaki dibunuh
Pelajar maut di sekolah: Nenek lihat Fiya terkulai, berlumuran darah dalam dewan sekolah
Pelajar maut di sekolah: 'Fiya nak jadi doktor macam arwah ibu' - Ibu saudara
Pelajar maut di sekolah: Tiada kompromi terhadap buli, jenayah di sekolah - Exco
Pelajar maut dibunuh: 'Irene Sofia pelajar cemerlang, harapan 9A di sekolah' - Rakan
Pelajar maut dibunuh: 3 pelajar lelaki ditahan, seorang direman pagi ini
Irene Sofiya maut dibunuh: Pelajar lelaki direman enam hari
Irene Sofiya maut dibunuh: Polis rampas telefon bimbit, pakaian suspek
Irene Sofiya maut dibunuh: Hasrat 'staycation' sambut hari lahir tinggal kenangan