JOHOR BAHRU – Kerajaan Johor membentangkan Belanjawan Johor 2027 dengan unjuran lebihan sebanyak RM2.328 juta, hasil daripada pengurusan kewangan negeri yang berhemah dan berdisiplin.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, unjuran hasil negeri bagi 2027 adalah sebanyak RM3.077 bilion, manakala keseluruhan perbelanjaan dianggarkan berjumlah RM3.075 bilion.
Beliau berkata, Belanjawan Johor 2027 dibentangkan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 yang melakar lembaran baharu dalam usaha mencorak, memimpin dan mentadbir negeri itu.
Katanya, mandat besar yang diberikan Bangsa Johor kepada Barisan Nasional (BN) menjadi amanah untuk kerajaan negeri meneruskan agenda pembangunan dan memastikan kesejahteraan rakyat terus diberi keutamaan.
"Syukur Alhamdulillah, Bangsa Johor telah memberikan mandat yang besar kepada Kerajaan Barisan Nasional untuk meneruskan agenda membangunkan negeri. Tahniah dan syabas kepada semua yang menang baru-baru ini," katanya ketika membentangkan Belanjawan Johor 2027 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar pada Khamis.
Onn Hafiz (BN- Machap) menjelaskan komitmen kerajaan negeri terhadap pembangunan turut diperkukuh apabila peruntukan perbelanjaan pembangunan meningkat kepada RM1.53 bilion atau 49.77 peratus bagi 2027.
Jumlah itu meningkat lebih dua kali ganda berbanding RM600 juta atau 34.6 peratus pada 2023.
"Peningkatan yang amat signifikan ini mencerminkan kesungguhan dan keupayaan Kerajaan Negeri untuk terus memacu agenda pembangunan negeri, memperkukuh infrastruktur serta memastikan kemajuan ekonomi negeri diterjemahkan kepada manfaat yang dapat dirasai oleh seluruh Bangsa Johor," katanya.
Belanjawan bertemakan 'Johor Maju, Rakyat Sejahtera' itu turut menggariskan 284 tekad yang akan dilaksanakan berlandaskan Enam Teras Maju Johor bagi memastikan negeri ini kekal makmur, berdaya saing dan sejahtera.