MESA 2026 angkat standard pendidikan awal kanak-kanak

Iklan
MESA 2026 menghimpunkan pendidik, pengendali pusat pendidikan awal kanak-kanak, institusi prasekolah serta rakan industri.

PETALING JAYA – Anugerah Bintang Pendidikan Malaysia (MESA) 2026 kembali untuk edisi ketiga bagi mengiktiraf kecemerlangan dalam sektor pendidikan dan penjagaan awal kanak-kanak (ECCE) di Malaysia.

Dianjurkan Kiddy123, MESA 2026 menghimpunkan pendidik, pengendali pusat pendidikan awal kanak-kanak, institusi prasekolah serta rakan industri dalam usaha memperkukuh standard kualiti, inovasi dan profesionalisme sektor berkenaan.

Iklan
Iklan

Majlis yang berlangsung di Sheraton Petaling Jaya pada Ahad turut meraikan 42 pemenang dari Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Melaka, Johor, Kelantan dan Sabah.

MESA yang diperkenalkan pada 2024 merupakan anugerah yang memberi tumpuan khusus kepada sektor penjagaan dan pendidikan awal kanak-kanak, termasuk pusat jagaan, tadika, pendidik serta program yang menyokong perkembangan dan pembelajaran kanak-kanak.

Iklan

Kiddy123 dalam satu kenyataan pada Isnin memaklumkan, pengiktirafan itu bukan sekadar meraikan pencapaian, sebaliknya bertujuan mewujudkan penanda aras dalam aspek kualiti, inovasi dan kepercayaan dalam ekosistem pendidikan awal kanak-kanak.

Majlis tersebut turut dihadiri Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan Swasta, Kementerian Pendidikan Malaysia, Lim Irene; Ketua Jabatan Pendidikan (Pendidikan Awal Kanak-kanak), Fakulti Pendidikan, Bahasa, Psikologi dan Muzik SEGi University & Colleges, Carolyn Choo; Presiden Persatuan Pengasuhan dan Perkembangan Awal Kanak-kanak Berdaftar Malaysia (PPBM), Profesor Adjung Norsheila Abdullah serta Naib Pengerusi Persatuan Tadika Malaysia (PTM), Elvis Gan.

Iklan

Turut diadakan forum industri bertajuk ‘Melabur kepada Guru, Pacu Pertumbuhan Industri: Mengapa Kualiti dan Kesejahteraan Guru Penting untuk Masa Depan Pendidikan Awal Kanak-kanak’ yang menampilkan Carolyn, Elvis dan Norsheila sebagai ahli panel.

Dalam ucaptamanya, Irene menegaskan guru merupakan antara elemen penting dalam memastikan perkembangan pendidikan awal kanak-kanak terus diperkukuhkan.

“Guru merupakan tunjang utama pendidikan awal kanak-kanak kerana mereka memainkan peranan penting dalam membentuk perkembangan kanak-kanak pada tahun-tahun paling kritikal dalam kehidupan mereka.

“Memberi tumpuan kepada pembangunan profesional, kesejahteraan dan pengiktirafan terhadap guru merupakan langkah berkesan untuk meningkatkan hasil pembelajaran kanak-kanak,” katanya.

Sementara itu, proses penilaian MESA 2026 dilaksanakan menerusi saringan secara teliti dan berperingkat, termasuk lawatan lapangan sekiranya diperlukan bagi mengesahkan standard operasi serta kecemerlangan calon.

Antara kategori yang dipertandingkan ialah Pendidikan Awal Kanak-kanak Terbaik, Kurikulum Prasekolah Inovatif Terbaik, Prasekolah Pendidikan Khas Terbaik, Program Muzik Pendidikan Awal Kanak-kanak Terbaik dan Pusat Pembelajaran Islam Terbaik.

Pengasas Bersama Kiddy123, Y E Cheong pula berkata, perubahan keutamaan ibu bapa terhadap pendidikan awal kanak-kanak turut mendorong usaha mewujudkan pengiktirafan yang memberi penekanan kepada kualiti pendidik dan pengalaman pembelajaran.

“Pada masa kini, ibu bapa bukan lagi sekadar melihat faktor harga atau lokasi, sebaliknya memberi perhatian kepada individu yang membimbing anak-anak mereka, termasuk kualiti pendidik, keprihatinan dan hubungan yang dibina.

“Melalui 42 pemenang di seluruh Malaysia, kami berharap pengiktirafan ini dapat menjadi penanda aras yang dipercayai serta memberi inspirasi kepada penggiat industri untuk terus meningkatkan mutu pendidikan awal kanak-kanak,” katanya.

MESA 2026 turut mendapat sokongan rakan strategik termasuk WE.PLAY Playground, PlanToys Malaysia dan SEGi University & Colleges.

Penganjuran edisi ketiga itu menekankan kepentingan kerjasama antara kementerian, institusi pendidikan, pengendali pusat, pendidik, organisasi berkaitan dan sektor korporat dalam memperkukuh ekosistem pendidikan awal kanak-kanak di Malaysia.