BENTONG – Sebanyak 11 daerah di Pahang bakal dihimpunkan menerusi Temasya Orang Pahang 2026 (TOP) yang berlangsung di Dataran Bentong, di sini dari 9 hingga 11 Oktober ini.
Program anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Pahang itu merupakan sebahagian daripada 15 Program Pelancongan Budaya yang dianjurkan JKKN di seluruh negara.
Ia bertujuan memperkenalkan keunikan seni dan budaya tempatan kepada pelancong menerusi pendekatan pelancongan budaya yang memberi ruang kepada pengunjung mengenali sesebuah tempat bukan sahaja melalui lokasi, malah masyarakat, adat, makanan, kraftangan, permainan tradisi dan warisan yang membentuk identiti komuniti setempat.
Sepanjang tiga hari penganjuran, pengunjung berpeluang meneroka kepelbagaian identiti 11 daerah di Pahang yang dihimpunkan dalam satu lokasi menerusi Perkampungan Budaya.
Perkampungan itu menjadi ruang untuk pengunjung mengenali dengan lebih dekat kepelbagaian seni, budaya dan produk tempatan selain berinteraksi secara langsung dengan masyarakat, penggiat seni, pengusaha serta pelancong.
Konsep yang diketengahkan bukan sekadar berbentuk pameran, sebaliknya memberi peluang kepada pengunjung mencuba sendiri pelbagai aktiviti seni dan budaya yang jarang diketengahkan secara terbuka.
Antaranya demonstrasi pembuatan tempok kepala Orang Asli Semelai, bengkel muzik gamelan, persembahan Gendang Cina 24 Musim serta aksi sukan tradisi seperti menyumpit, memanah dan gasing pangkah.
Selain itu, pelbagai pengisian seni budaya turut melengkapkan pengalaman pengunjung menerusi persembahan kesenian, bengkel seni budaya, pertandingan, demonstrasi permainan tradisional serta aktiviti interaktif.
Pentas utama temasya turut menampilkan penyanyi Datuk Ramli Sarip selain maestro lagu rakyat terkenal, Roslan Madun.
Turut membuat penampilan ialah bakat muda seperti Baiq Balqis dan Sul Bahari yang bakal menyajikan persembahan muzik merentasi generasi.
Temasya itu turut dimeriahkan dengan pelbagai program seperti Food Fighter Fest, Serambi Kopi dan deretan gerai jualan makanan tular.
Turut diadakan pencarian bakat 'Mencari Sudirman', Fun Run serta Senam Seni 2.0 bersempena Hari Sukan Negara.
Pengunjung juga berpeluang menyaksikan persembahan tarian Labi-labi, Tarian Piring Pahang, Tarian Orang Asli Jahut dan pelbagai lagi kesenian tradisional.
Pelbagai pertandingan dan aktiviti pencungkilan bakat turut dianjurkan, antaranya Pertandingan Tarian Gamelan, Memasak Asam Rong, Mencari Puspawangi Pahang, Peragaan Busana Tradisional Pahang, Qasidah, Rentak Tari Pahang serta Mewarna Tercantik.
Dalam pada itu, pengunjung boleh mendapatkan pelbagai perkhidmatan dan menyertai aktiviti interaktif menerusi reruai agensi kerajaan, antaranya saringan kesihatan dan pergigian, semakan serta pembayaran saman, demonstrasi kebakaran, Jualan Rahmah dan Agro MADANI.
Majlis Perasmian Temasya Orang Pahang 2026 dijadualkan berlangsung pada 10 Oktober ini, jam 8.30 malam.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai program berkenaan menerusi laman sesawang JKKN serta media sosial rasmi JKKN di MySeniBudaya di Facebook dan JKKN Pahang.