SHENZHEN - Keputusan yang dihasilkan pada Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) ke-33 akan menjadi penentu dan pembentuk kepada daya tahan serta kemakmuran ekonomi rantau ini untuk generasi akan datang, tegas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Dalam dunia yang semakin berpecah-belah, rantau Asia Pasifik mesti membuktikan bahawa kepelbagaian tidak semestinya membawa kepada perpecahan, persaingan tidak semestinya mengorbankan kerjasama dan kemakmuran tidak seharusnya menjadi hak eksklusif segelintir pihak,” kata beliau dalam Kenyataan Negara pada Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC di sini pada Khamis.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Malaysia berpandangan bahawa kerjasama serantau juga harus berfungsi sebagai jambatan kepada perkongsian global yang lebih luas, khususnya dengan ekonomi-ekonomi membangun dan negara-negara Selatan Global.
Beliau berkata, kesalinghubungan yang lebih erat merentasi rantau akan memperkukuh daya tahan ekonomi dan menyumbang ke arah susunan ekonomi global yang lebih seimbang dan saksama.
"Komuniti Asia-Pasifik perlu berpandangan jauh dan bersifat inklusif,” tambah beliau.
Anwar berkata, Malaysia juga tegas memperjuangkan pendekatan yang bersatu dan berteraskan etika dalam tadbir urus digital dan kecerdasan buatan (AI).
"Kita mesti memastikan kemajuan teknologi berupaya memperkasakan semua ekonomi, khususnya negara-negara Selatan Global dan bukannya mendedahkan mereka kepada eksploitasi yang berniat jahat,” jelas beliau lagi.
Perdana Menteri berada di Shenzhen, wilayah Guangdong yang terletak di utara Hong Kong bagi menghadiri Minggu Pemimpin Ekonomi APEC (AELW) ke-33 yang berakhir pada Khamis.
APEC merupakan forum antara kerajaan bagi 21 ekonomi anggota yang bersempadan dengan Lautan Pasifik bermatlamat menggalakkan perdagangan bebas di seluruh rantau Asia-Pasifik.
Rantau itu merangkumi hampir 40 peratus populasi dunia, hampir separuh daripada perdagangan global dan lebih 60 peratus daripada ekonomi global.
Malaysia ialah antara 12 anggota pengasas APEC manakala anggota lain ialah Australia, Brunei, Kanada, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, New Zealand, Amerika Syarikat (AS), Filipina, Singapura dan Thailand.
China, Hong Kong, Taiwan, Mexico dan Papua New Guinea menyertainya pada 1993.
Chile pada 1994, diikuti Peru, Rusia dan Vietnam pada 1998 yang menjadikan jumlah keahlian penuh sebanyak 21 anggota. - Bernama