Malaysia perlukan 111 tahun selesaikan isu 225,000 pelarian

Iklan
Jika jumlah penghantaran keluar hanya sekitar 2,000 orang setahun, Malaysia memerlukan lebih satu abad untuk menyelesaikan penempatan semula kesemua pelarian terbabit. Gambar fail

KUALA LUMPUR – Malaysia dianggarkan memerlukan tempoh sehingga 111 tahun untuk menyelesaikan isu lebih 225,000 pelarian yang berada di negara ini sekiranya proses penghantaran mereka ke negara ketiga terus berlaku pada kadar semasa.

Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, jumlah pelarian yang dihantar ke negara ketiga hanya 974 orang bagi tempoh Januari hingga Jun 2026, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai keupayaan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) menyelesaikan isu berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, jika jumlah penghantaran keluar hanya sekitar 2,000 orang setahun, Malaysia memerlukan lebih satu abad untuk menyelesaikan penempatan semula kesemua pelarian terbabit.

"Ini tak masuk akal. Sebab itu saya kata, UNHCR selama ini terlalu mengambil mudah kerana Malaysia membuka ruang, seolah-olah tak apalah, masuklah," katanya ketika sidang akhbar di Dewan Rakyat pada Khamis.

Iklan

Sehubungan itu, bekas Menteri Pendidikan itu menegaskan, UNHCR perlu mengambil tanggungjawab mencari penyelesaian segera, khususnya mempercepatkan proses penghantaran pelarian ke negara ketiga dan tidak meletakkan beban pengurusan sepenuhnya kepada Malaysia.

Menurutnya, penghantaran ke negara ketiga bukan satu-satunya pilihan kerana kerajaan juga boleh menggunakan saluran diplomasi bagi membolehkan pelarian dihantar pulang ke negara asal.

Iklan

"Kita tidak perlu takut dengan tekanan dunia kalau nak hantar balik ke negara asal. Dunia yang menekan kita ini, sepatutnya mengambil mereka yang kita nak hantar balik ini.

"Ini kita diletakkan dalam keadaan seolah-olah bila kita nak hantar balik, dunia tekan kita, kita takut. Apa nak takut? Ini kedaulatan negara," ujar beliau.

Mohd Radzi berkata, Malaysia perlu memanfaatkan platform diplomasi serantau termasuk ASEAN serta saluran antarabangsa bagi mencari penyelesaian menyeluruh terhadap isu berkenaan.

Beliau turut mengambil contoh pengurusan pelarian Vietnam sebelum ini yang menyaksikan sebahagian mereka ditempatkan di negara ketiga, manakala baki pelarian dihantar pulang ke negara asal melalui rundingan.

Dalam perkembangan berkaitan, Radzi menggesa kerajaan memantau pelaksanaan keputusan UNHCR menghentikan pendaftaran pelarian baharu serta mendapatkan akses kepada pangkalan data agensi itu.

Katanya, akses berkenaan penting bagi membolehkan kerajaan mengenal pasti jumlah sebenar pelarian yang telah didaftarkan dan memastikan tiada pertambahan selepas keputusan penghentian pendaftaran diumumkan.

"Sebab itu saya mohon kerajaan pantau perkara ini untuk memastikan bahawa pendaftaran itu benar-benar telah dihentikan.

"Salah satu caranya adalah untuk kerajaan mendapatkan akses kepada data sistem data maklumat pelarian ini," ujarnya.