KUALA LUMPUR - Sebanyak 36 pegawai dan petugas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) ditahan, digantung tugas dan sedang berdepan pertuduhan di mahkamah sepanjang 2025 hingga pertengahan tahun ini kerana disyaki terlibat dalam sindiket pengeluaran pas perubatan dan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak akan berkompromi dalam soal integriti, malah beberapa siri operasi khas dilaksanakan bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membersihkan ketirisan dalaman.
Beliau berkata, langkah pendigitalan PLKS menerusi pelaksanaan sepenuhnya sistem ePLKS tanpa pelekat fizikal sejak penghujung 2024 turut membantu mengekang kegiatan pemalsuan dokumen pekerjaan.
"Pelaksanaan sepenuhnya ePLKS tanpa pelekat fizikal ini yang diintegrasikan dengan sistem biometrik sebenarnya telah membuahkan hasil.
"Pemalsuan pelekat fizikal di kedai pencetak haram ini berjaya dilumpuhkan hampir 90 peratus pada 2026 kerana pengesanan kini dibuat secara digital di lapangan peranti pintar penguatkuasaan melalui imbas kod QR berpusat yang tidak boleh diklon,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Khamis.
Beliau menjawab soalan tambahan Manndzri Nasib (BN-Tenggara) yang ingin tahu status terkini operasi pembersihan dalaman KDN bersama SPRM terhadap pegawai yang bersekongkol dengan sindiket serta sejauh mana pendigitalan PLKS pada 2026 berjaya menutup kelompangan pemalsuan dokumen pekerjaan.
Terdahulu, menjawab soalan asal Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar) mengenai pecahan pendatang tanpa izin dan penguatkuasaan, Shamsul Anuar berkata, sebanyak 35,109 warga asing ditangkap menerusi operasi JIM bagi tempoh 1 Januari hingga 15 September lepas.
Dalam tempoh sama, beliau berkata, 22,495 warga asing diterima melalui serahan di pintu masuk serta daripada agensi penguatkuasaan lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), menjadikan jumlah keseluruhan tangkapan dan serahan 57,604 orang.
Beliau berkata, warga Indonesia mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 16,744 orang, diikuti Bangladesh (13,543) dan Myanmar (8,452), manakala 41,277 warga asing telah dihantar pulang ke negara asal setelah selesai proses dokumentasi.
Selain itu, Shamsul Anuar berkata, sebanyak 304,905 pendatang tanpa izin telah berdaftar di bawah Program Repatriasi Migran 2.0 hingga 15 Sept lepas dengan 243,463 orang daripada mereka sudah pulang ke negara asal secara sukarela. - Bernama