PUTRAJAYA - Beberapa kejadian kehilangan nyawa pelajar di sekolah sejak kebelakangan ini bukan sekadar tertumpu kepada isu disiplin semata- mata, sebaliknya kes berkenaan perlu dilihat sebagai amaran serius kepada negara.
Tegas Presiden Persatuan Psikologi Malaysia (PSIMA), Profesor Madya Dr Shazli Ezzat Ghazali, kejadian tragis melibatkan keganasan dan kehilangan nyawa dalam persekitaran sekolah kebelakangan ini perlu mendorong penilaian lebih kritikal terhadap ekosistem psikologi yang membentuk pemikiran, emosi dan tingkah laku anak-anak.
Menurut beliau, ekosistem berkenaan bukan hanya melibatkan sekolah, sebaliknya bermula daripada keluarga, rakan sebaya, persekitaran digital sehingga masyarakat.
“Kita tidak boleh melihatnya sebagai isu disiplin sekolah semata-mata,” katanya dalam kenyataan media pada Isnin.
Beliau berkata, data juga telah memberikan amaran apabila Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 menunjukkan masalah kesihatan mental kanak-kanak berusia lima hingga 15 tahun meningkat daripada 7.9 peratus pada 2019 kepada 16.5 peratus pada 2023.
Katanya, peningkatan itu adalah lebih dua kali ganda, iaitu kira-kira seorang daripada enam kanak-kanak.
ARTIKEL BERKAITAN:Pelajar ditemui maut di sekolah disyaki dibunuh
Pelajar maut di sekolah: Nenek lihat Fiya terkulai, berlumuran darah dalam dewan sekolah
Pelajar maut di sekolah: 'Fiya nak jadi doktor macam arwah ibu' - Ibu saudara
Pelajar maut di sekolah: Tiada kompromi terhadap buli, jenayah di sekolah - Exco
Pada 25 September lalu, pelajar Tingkatan Dua, Muhammad Idlan Fareeq Shahril, 14, ditemukan tidak sedarkan diri di kawasan asrama sebuah sekolah di daerah ini sebelum dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) dan disahkan meninggal dunia.
Polis kemudian menahan seorang pelajar Tingkatan Empat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, manakala keterangan 21 individu termasuk pelajar, guru dan ibu bapa telah direkodkan. Punca kematian masih belum ditentukan ketika itu sementara menunggu keputusan ujian lanjut.
Terbaharu, insiden menyayat hati berlaku terhadap, pelajar Tingkatan Empat, Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16, ditemukan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah di sebuah sekolah di Yong Peng pada petang 3 Oktober sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Polis menahan seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang dipercayai rakan sekelas mangsa dan direman enam hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Polis memaklumkan mangsa mengalami beberapa kecederaan di bahagian kepala dan badan, manakala motif dan keadaan sebenar kejadian masih dalam siasatan.
ARTIKEL BERKAITAN:
Pelajar maut dibunuh: 'Irene Sofia pelajar cemerlang, harapan 9A di sekolah' - Rakan
Pelajar maut dibunuh: 3 pelajar lelaki ditahan, seorang direman pagi ini
Irene Sofiya maut dibunuh: Pelajar lelaki direman enam hari
Irene Sofiya maut dibunuh: Polis rampas telefon bimbit, pakaian suspek
Irene Sofiya maut dibunuh: Hasrat 'staycation' sambut hari lahir tinggal kenangan
Dalam pada itu, Shazli Ezzat berkata, negara perlu melihat lebih jauh bagi memahami perkara yang sedang berlaku dalam keluarga dan masyarakat, termasuk sama ada ibu bapa mempunyai masa berkualiti untuk mendengar anak.
Aspek gaya didikan, kemampuan anak mengurus kemarahan, kekecewaan, penolakan dan konflik serta pemantauan dunia digital turut perlu diberikan perhatian.
"Kita perlu bertanya lebih jauh untuk memahami isu ini. Apakah yang sedang berlaku dalam keluarga dan masyarakat kita? Gaya didikan terlalu menghukum, terlalu permisif atau kurang sempadan? Adakah anak mengurus kemarahan, kekecewaan, penolakan dan konflik? Siapakah yang memantau dunia digital mereka? soal beliau.
Justeru, PSIMA menyeru tindakan segera menerusi pendekatan yang menyeluruh dengan ibu bapa diperkasakan menerusi ilmu keibubapaan dan literasi psikologi.
Sekolah pula, katanya, mesti mempunyai sistem pengesanan awal dan rujukan profesional, manakala komuniti perlu lebih peka terhadap perubahan tingkah laku.
“Akses kepada ahli psikologi serta intervensi awal perlu diperluaskan,” katanya.
Menurutnya, Malaysia juga memerlukan Infrastruktur Psikologi Nasional yang menghubungkan keluarga, sekolah, komuniti dengan perkhidmatan psikologi dan kesihatan.
Beliau berkata, infrastruktur berkenaan perlu mempunyai mekanisme pengesanan, penilaian, intervensi, rujukan dan pemantauan yang jelas.
“Jangan hanya bertindak selepas tragedi berlaku. Statistik telah memberi amaran dan kejadian yang menyayat hati memperlihatkan betapa mahalnya harga apabila tanda risiko tidak ditangani lebih awal.
“Ini bukan lagi masa untuk sekadar prihatin tetapi ini adalah masa untuk bertindak,” katanya.