KOTA BHARU – Kegembiraan tiga rakan mandi-manda di Sungai Pulau Belacan di sini bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka dikhuatiri lemas ketika air sungai sedang pasang pada Khamis.
Mangsa, Muhammad Azim Danial Abdul Hadi, 13, dipercayai tidak pandai berenang dan dihanyutkan arus sebelum hilang.
Komander Operasi BBP Pengkalan Chepa, Pegawai Bomba Kanan I, Mohd Shamsudin Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 5.41 petang.
Menurut beliau, sepasukan lapan anggota bersama sebuah jentera telah ke lokasi.
"Kami tiba di lokasi kejadian pada jam 5.50 petang, kira-kira tiga kilometer dari balai.
"Setiba di lokasi kami mendapati seorang pelajar Tingkatan Satu dikhuatiri lemas di sungai berkenaan," katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Ujar beliau, operasi pencarian dilakukan menggunakan kaedah 'surface searching' di sepanjang sungai dengan bantuan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA).
Tambahnya, operasi pencarian masih diteruskan namun berdepan cabaran apabila keadaan semakin gelap.