BATU GAJAH - Sindiket judi sabung ayam yang dipercayai aktif sejak awal tahun ini tumpas selepas polis menyerbu sebuah rumah pondok di sini pada Sabtu.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, serbuan kira-kira jam 7 malam itu dilakukan Bahagian D7 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dengan bantuan Bahagian D9 JSJ IPK Perak, Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah serta Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Perak.
Menurutnya, seramai 40 lelaki tempatan dan seorang lelaki warga Indonesia ditahan dalam operasi berkenaan.
"Polis turut merampas beberapa barangan serta wang tunai berjumlah RM114,211 yang dipercayai berkaitan dengan aktiviti tersebut," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Sementara itu, Mohd Alwi berkata, hasil siasatan mendapati kegiatan perjudian itu telah beroperasi sejak awal tahun 2026 dengan kadar pertaruhan dikesan mencecah hingga RM20,000 bagi satu pusingan.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Katanya, kes turut disiasat mengikut Seksyen 32 Akta Kebajikan Haiwan 2015 berkaitan kesalahan usaha niaga pelagaan haiwan.
"Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda tidak kurang RM20,000 dan tidak melebihi RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
"Bagi lelaki warga asing terbabit, kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki, tinggal atau berada di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah," katanya.
Mohd Alwi berkata, kesalahan di bawah akta itu memperuntukkan denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali serta boleh dikenakan sebatan sehingga enam kali.
Beliau menegaskan Polis Perak akan terus mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang terbabit dalam kegiatan perjudian haram serta penganiayaan haiwan.