CYBERJAYA – Kerjasama erat antara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Biro Mencegah Rasuah (BMR) Brunei terus diperkukuh khususnya dalam memperkasa bidang operasi serta usaha membanteras rasuah.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, komitmen berterusan kedua-dua agensi itu jelas mencerminkan kesungguhan dalam memastikan kerjasama yang sekian lama terjalin terus diperkasakan.
Menurutnya, kehadiran delegasi BMR Brunei pada Mesyuarat Tahunan Kerjasama Dua Hala Kali Ke-17 di sini memperlihatkan komitmen berterusan kedua-dua pihak dalam memperkukuh hubungan profesional.
"Mesyuarat kali ini turut merangkumi empat pembentangan kertas kerja oleh kedua-dua agensi yang memberi tumpuan khusus kepada bidang operasi dan pencegahan rasuah.
"Perkongsian ini dijangka memberi manfaat besar kepada kedua-dua pihak, terutama dalam meningkatkan keupayaan serta keberkesanan pelaksanaan fungsi masing-masing," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan aluan sempena mesyuarat berkenaan pada Selasa.
Abd Halim turut berharap perbincangan yang diadakan dapat memberi tumpuan kepada langkah-langkah praktikal bagi memperkukuh hubungan profesional dan kerjasama erat antara SPRM dengan BMR Brunei.
Sementara itu, Pengarah BMR Brunei, Syed Azmal Syed Ali berkata, mesyuarat dua hala berkenaan sentiasa diberikan keutamaan oleh pihaknya kerana menjadi manifestasi hubungan persaudaraan akrab yang sekian lama terjalin antara kedua-dua agensi.
Katanya, hubungan bilateral itu terus diperkukuh menerusi persefahaman berterusan pada peringkat tertinggi pentadbiran kedua-dua negara.
"BMR amat menghargai kesediaan SPRM untuk berkongsi kepakaran dalam pelbagai bidang bagi memperluas ruang kerjasama serta meningkatkan keupayaan kedua-dua agensi.
"Saya berharap jalinan kerjasama ini akan terus kekal mampan dan meneroka dimensi baharu pada masa hadapan, terutamanya dalam aspek teknologi, risikan, penyiasatan serta kaedah pencegahan rasuah," ujarnya.