KUALA LUMPUR – Sebanyak 34,451 unit barang kes membabitkan 751 kertas siasatan bagi tempoh 2010 hingga 2026 dilupuskan dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM2.34 juta.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pelupusan itu melibatkan empat daerah iaitu Dang Wangi, Cheras, Putrajaya dan Sentul.
Fadil berkata, antara barangan yang dilupuskan terdiri daripada mesin Bitcoin, minuman keras, rokok, komputer riba serta pelbagai barangan lain yang berkaitan dengan kes perjudian, noda, kontraban dan kes am.
"Daripada jumlah keseluruhan itu, sebanyak 244 kertas siasatan membabitkan barang kes am, 170 kes noda dan hiburan, enam kes Bitcoin, 270 kes perjudian serta 61 kes kontraban," katanya
Fadil berkata, anggaran nilai keseluruhan pelupusan adalah RM2,344,627.68.
"Semua kertas siasatan berkenaan telah selesai dan kes terbabit mendapat keputusan serta perintah pelupusan daripada mahkamah.
"Semua barang kes yang terlibat mendapat Perintah Pelupusan Barang Kes mengikut Seksyen 407(2) Kanun Prosedur Jenayah (Akta 593)," katanya.
Beliau berkata, proses pelupusan dilaksanakan mengikut tatacara dan peraturan yang telah ditetapkan bagi memastikan setiap barang kes diuruskan dengan teratur, selamat dan berintegriti.
"Langkah ini turut mencerminkan komitmen polis dalam memastikan pengurusan barang kes dilaksanakan secara telus dan bertanggungjawab," katanya.