Irene Sofiya maut dibunuh: KPM perlu perjelas mekanisme keselamatan sekolah - Puteri UMNO

Iklan
Nurul Amal

SHAH ALAM – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu memberikan penjelasan menyeluruh mengenai mekanisme keselamatan di sekolah susulan kematian seorang pelajar perempuan Tingkatan Empat di Yong Peng, Johor pada Sabtu.

Ketua Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi berkata, penjelasan itu penting bagi memastikan aspek keselamatan pelajar, termasuk kawalan keluar masuk, pemantauan kawasan sekolah, pengawasan murid dan mekanisme aduan, benar-benar berfungsi seperti yang ditetapkan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, tragedi yang meragut nyawa pelajar berusia 16 tahun itu tidak seharusnya berakhir dengan ucapan takziah dan siasatan semata-mata, sebaliknya perlu disusuli penilaian terhadap kelemahan yang mungkin wujud dalam sistem keselamatan sekolah.

"Adakah terdapat aduan atau tanda awal ancaman sebelum kejadian? Jika ada, apakah tindakan yang telah diambil?

Iklan

"Persoalan ini perlu dijawab berdasarkan fakta tanpa menjejaskan siasatan. Menghormati proses undang-undang tidak bermakna KPM boleh mengabaikan tanggungjawab untuk menjelaskan tindakan pentadbirannya,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Dalam kejadian pada Sabtu, seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun ditemukan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah di kawasan sebuah sekolah di Yong Peng sebelum disahkan meninggal dunia.

Iklan

Polis kemudiannya mengklasifikasikan kes itu sebagai bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan menahan seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun bagi membantu siasatan. Motif kejadian masih dalam siasatan.

Nurul Amal berkata, Puteri UMNO menggesa KPM melaksanakan semakan menyeluruh terhadap kawalan keselamatan sekolah.

Perkara itu termasuk prosedur keluar masuk, pemantauan kawasan, rondaan, pengawasan pelajar serta saluran aduan berkaitan ancaman atau keganasan.

"Saluran aduan mesti selamat, mudah diakses dan disusuli tindakan supaya pelajar berani mendapatkan bantuan sebelum keadaan menjadi lebih buruk.

"Pada masa sama, intervensi awal, kaunseling serta kerjasama antara sekolah, ibu bapa dan agensi berkaitan perlu diperkukuhkan," katanya.

Beliau berkata, usaha mencegah kejadian seumpama itu tidak boleh hanya bergantung kepada tindakan selepas sesuatu insiden berlaku, sebaliknya tanda awal ancaman perlu dikenal pasti dan ditangani lebih awal.

"Kita tidak boleh terus bergantung kepada hukuman selepas kejadian sedangkan tanda awal dan ruang pencegahan juga perlu diberi perhatian," katanya.

Nurul Amal turut menggesa KPM menetapkan tempoh pelaksanaan yang jelas bagi setiap langkah penambahbaikan, selain memastikan pihak yang bertanggungjawab dan mekanisme pemantauan keberkesanan dapat dikenal pasti.

"Kita mahu mengetahui apa yang akan dibuat, siapa yang bertanggungjawab dan bagaimana keberkesanannya akan dipantau. Keyakinan ibu bapa mesti dipulihkan melalui tindakan yang boleh dinilai," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:Pelajar ditemui maut di sekolah disyaki dibunuh

Pelajar maut di sekolah: Nenek lihat Fiya terkulai, berlumuran darah dalam dewan sekolah

Pelajar maut di sekolah: 'Fiya nak jadi doktor macam arwah ibu' - Ibu saudara

Pelajar maut di sekolah: Tiada kompromi terhadap buli, jenayah di sekolah - Exco

Pelajar maut dibunuh: 'Irene Sofia pelajar cemerlang, harapan 9A di sekolah' - Rakan

Kenyataan itu dibuat ketika KPM sendiri mengarahkan pemeriksaan menyeluruh terhadap aspek pengurusan dan keselamatan sekolah susulan tragedi berkenaan.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, semakan itu antara lain meliputi rekod kehadiran murid ketika kelas tambahan, kawalan keselamatan, rondaan di kawasan sekolah serta tanggungjawab syarikat kawalan keselamatan.

KPM juga menyatakan tindakan tegas akan diambil sekiranya pemeriksaan mendapati berlaku kecuaian atau tanggungjawab tidak dilaksanakan seperti sepatutnya.

Dalam pada itu, Nurul Amal berkata, sokongan terhadap kerajaan tidak seharusnya menghalang mana-mana pihak daripada menuntut penjelasan dan pertanggungjawaban apabila keselamatan pelajar menjadi taruhan.

"Puteri UMNO akan terus membawa suara ibu bapa dan pelajar dalam isu ini. Satu nyawa yang hilang sudah terlalu mahal harganya.

"Jangan tunggu tragedi seterusnya sebelum kelemahan diperbetulkan.

"Kita mahukan siasatan yang menyeluruh, tindakan tegas berlandaskan undang-undang dan langkah pencegahan yang nyata supaya sekolah menjadi tempat yang selamat untuk setiap anak," katanya.