PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan dalaman bagi meneliti beberapa dakwaan dibuat ahli perniagaan, Bachar Kiwan yang dilaporkan Sarawak Report sejak 16 Ogos lalu.
SPRM dalam kenyataan memaklumkan, siasatan itu dilakukan susulan arahan Ketua Pesuruhjaya SPRM supaya penelitian menyeluruh dibuat bagi menentukan tindakan dan langkah sewajarnya.
Menurut kenyataan itu, pertemuan pegawai SPRM dengan Bachar merupakan sebahagian daripada proses siasatan biasa bagi meneliti serta mengesahkan maklumat yang dikemukakan berkaitan usaha pemulihan aset kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
"Setiap perbincangan turut dihadiri wakil Jabatan Peguam Negara (AGC) dan ia tidak bermaksud SPRM mengiktiraf sebarang tuntutan atau status beliau.
"Untuk rekod, Bachar tidak dikategorikan sebagai individu yang dilindungi di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 dan perkara itu telah dimaklumkan kepadanya ketika pertemuan pada 2 Disember 2025," menurut kenyataan itu.
Sebelum ini, Sarawak Report menerusi laporan pada 16 Ogos lalu membangkitkan persoalan mengenai cadangan ganjaran kepada Bachar susulan tawaran kerjasamanya dalam membantu usaha mendapatkan semula aset berkaitan 1MDB yang didakwa disalurkan melalui Kuwait.
Mengulas dakwaan mengenai ganjaran dan pembahagian hasil pemulihan aset, SPRM menjelaskan dokumen berkenaan hanya merupakan draf terma yang dikemukakan pihak Bachar dan tidak pernah dipersetujui atau ditandatangani suruhanjaya itu.
Menurut kenyataan sama, SPRM juga tidak pernah terlibat dalam isu pelantikan peguam kerana perkara berkenaan di luar bidang kuasa suruhanjaya itu.
"Penarikan diri firma guaman yang terlibat juga merupakan keputusan firma berkenaan," menurut kenyataan itu.
Dalam perkembangan sama, SPRM memutuskan untuk tidak meneruskan kerjasama dengan Bachar selepas memperoleh dokumen rasmi dan rekod sah daripada pihak berkuasa Kuwait menerusi permintaan Bantuan Perundangan Bersama (MLA).
Susulan itu, maklumat yang ditawarkan ahli perniagaan berkenaan tidak lagi menjadi keperluan utama dalam siasatan.
Dalam pada itu, SPRM memaklumkan pihaknya turut merakam percakapan ahli perniagaan, Albert Tei yang hadir ke Ibu Pejabat SPRM di sini pada Rabu bagi membuat aduan berhubung isu berkenaan.
SPRM turut menyatakan kesediaan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada mana-mana agensi penguat kuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu siasatan berhubung perkara itu.
Suruhanjaya itu menegaskan semua dakwaan perlu diteliti secara telus dan berlandaskan undang-undang.