BACHOK – Gerak hati seorang anak yang hairan apabila nasi yang digantung di pagar rumah ibunya masih tidak diambil membawa kepada penemuan mayat wanita warga emas itu di kawasan semak di belakang rumahnya di Kampung Pengkalan Baru di sini pada Sabtu.
Che Bidah Sulung, 85, ditemukan anak sulungnya, Hilmiah Hamzah, 60-an pada kira-kira jam 3 petang selepas menyedari wanita itu tiada di dalam rumah.
Anak keduanya, Hindun Hamzah, 58, berkata, kakaknya datang menghantar nasi ke rumah ibu mereka jam 10.30 pagi dan menggantungnya di pagar seperti rutin biasa.
“Mak tinggal seorang diri di rumah itu dan rutin anak-anak serta anak saudara akan hantar makanan ke rumahnya.
“Tetapi apabila kakak datang semula dan mendapati nasi yang dihantar masih tak diambil, dia mula cari mak di sekitar rumah,” katanya ketika ditemui di sini pada Ahad.
Hindun berkata, kakaknya kemudian menemui ibu mereka sudah tidak bernyawa di kawasan semak di belakang rumah.
Katanya, ibunya seorang yang aktif dan gemar membersihkan kawasan rumah.
“Mak juga tiada sebarang penyakit dan kami masih terkejut dengan kejadian ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.
“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Bachok untuk tindakan lanjut, manakala siasatan dijalankan bagi mengetahui punca kematian,” katanya.