KUALA LUMPUR - Sebanyak 28,349 kes kebakaran terbuka dilaporkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di seluruh negara sejak 1 Januari hingga Ahad.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, daripada jumlah itu, 20,483 kes kebakaran belukar, 3,857 kes bagi tapak pelupusan haram atau pembakaran sampah haram, 2,149 kes kebakaran hutan dan 1,377 kes kebakaran kebun kecil.
"Secara kumulatif, sebanyak 104,685 insiden direkodkan JBPM bagi tempoh 1 Januari hingga Ahad.
"Daripada jumlah itu, 28,349 kes merupakan kebakaran terbuka, diikuti lain-lain kebakaran sebanyak 9,717 kes, kebakaran bangunan (4,361) dan kebakaran kenderaan (3,239)," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.
Nor Hisham berkata, kes kebakaran terbuka menunjukkan peningkatan sejak awal Oktober apabila 24 kes direkodkan pada 1 Oktober, diikuti 17 kes pada 2 Oktober, 27 kes pada 3 Oktober sebelum meningkat kepada 31 kes pada Ahad.
Mengulas lanjut, Nor Hisham berkata, secara keseluruhan, JBPM merekodkan 337 insiden dalam tempoh 24 jam termasuk 255 operasi penyelamatan.
"Selangor mencatatkan jumlah keseluruhan insiden tertinggi dengan 74 kes, diikuti Johor sebanyak 39 kes dan Kedah dengan 34 kes," katanya.
Nor Hisham berkata, sebanyak 76 kes kebakaran direkodkan dari jam 8 pagi Sabtu hingga jam 8 pagi Ahad, termasuk 31 kes kebakaran terbuka.
"Berdasarkan laporan Pusat Gerakan Operasi Kebombaan Kebangsaan JBPM, sebanyak 19 kes lagi merupakan lain-lain kebakaran, diikuti kebakaran bangunan sebanyak 15 kes dan kebakaran kenderaan 11 kes," katanya.