'Rakan yang minta saya buat aksi 'wheelie' tapi dia cabut lari'

Iklan
Niat untuk menonton perlumbaan motosikal membawa padah apabila sekumpulan remaja ditahan JPJ. Foto SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN

KOTA BHARU -"Rakan yang minta saya buat aksi 'wheelie' menggunakan motosikal dia, tapi dia cabut lari."

Itu cerita seorang remaja berusia 14 tahun yang ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan menerusi Operasi Khas Motosikal di kawasan Padang Tembak, Pengkalan Chepa di sini pada Khamis.

Iklan
Iklan

Anak sulung daripada tiga beradik itu dan berasal dari Panji merupakan antara 40 remaja berusia 12 hingga 18 tahun yang ditahan semasa operasi bermula jam 5 hingga 7 petang.

Pelajar Tingkatan Dua itu memberitahu, dia tidak mempunyai motosikal dan rakannya yang berusia 16 tahun datang mengambilnya di rumah.

Iklan

"Kami memang suka bersiar-siar menaiki motosikal setiap petang. Dia selalu datang ambil.

"Tadi saya diminta rakan untuk buat aksi 'wheelie' sebelum anggota JPJ muncul. Dia berjaya larikan diri tapi ini merupakan kali pertama saya ditahan," katanya kepada pemberita pada Khamis.

Iklan

Seramai 40 remaja berusia 12 hingga 18 tahun ditahan JPJ Kelantan semasa Operasi Khas Motosikal di kawasan Padang Tembak, Pengkalan Chepa, Kota Bahru. Foto SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN

Dia telah ditegur dan dinasihat oleh ibunya beberapa kali tentang perbuataan tersebut namun sering mengingkarinya.

Bagi sekawan rakan pula yang terdiri daripada enam remaja berusia antara 13 hingga 15 tahun, mereka tidak pernah menyangka niat untuk menonton perlumbaan motosikal membawa padah apabila ditahan anggota JPJ.

"Lagipun tidak tahu hendak ke mana selain bersiar-siar. Rasa berdebar dan bimbang juga bila kena tahan anggota JPJ.

"Paling ditakuti ialah ibu kami. Kalau ibu tahu, habislah kena 'tinju' kat dia," katanya mereka.

Sementara itu, Pengarah JPJ Kelantan, Mohd Misuari Abdullah berkata, sudah dua tahun kawasan Padang Tembak di sini dikenal pasti menjadi lokasi tumpuan sekumpulan remaja melakukan aktiviti perlumbaan motosikal dan aksi berbahaya termasuk 'wheelie'.

Beliau memberitahu, kegiatan itu dipercayai berlangsung hampir setiap minggu, terutama menjelang hujung minggu, dengan aktiviti biasanya bermula seawal Rabu sebelum menjadi lebih rancak pada Khamis dan Jumaat.

Mohd Misuari - Foto SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN

"Kami sudah mengenal pasti lokasi berkenaan menerusi risikan serta maklumat orang awam.

"Kegiatan itu lazimnya dilakukan pada sebelah petang dan peserta akan pulang sebelum waktu Maghrib," katanya.

Ujar beliau, pihaknya pernah mengambil tindakan penguatkuasaan di lokasi sama sebelum ini termasuk mengeluarkan kira-kira 200 saman dalam satu operasi pada tahun lalu.

Mohd Misuari (duduk dari tengah) memeriksa motosikal semasa Operasi Khas Motosikal di kawasan Padang Tembak, Pengkalan Chepa, Kota Bahru. Foto SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN

Bagaimanapun katanya, kegiatan itu masih berulang dan pihaknya tidak akan menghentikan pemantauan.

"Kita bukan leka atau memperlahankan operasi. Risikan sentiasa berjalan dan maklumat orang awam sangat membantu kita mengenal pasti lokasi serta pergerakan mereka," katanya.