Pelajar Tingkatan Tiga maut di SBP selamat dikebumikan

Iklan
Fadhlina menenangkan ibu kepada Allahyarham ketika hadir memberi penghormatan terakhir kepada jenazah pelajar tingkatan tiga yang ditemukan meninggal dunia di sebuah sekolah di Perak di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuala Juasseh malam ini. Foto: Bernama

KUALA PILAH - Pelajar Tingkatan Tiga yang ditemukan tidak bernyawa di sebuah sekolah berasrama penuh (SBP) di Kuala Kangsar semalam selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuala Juasseh di sini pada 10.21 malam ini.

Suasana pilu menyelubungi tanah perkuburan itu apabila ahli keluarga, sahabat dan sanak saudara yang hadir turut mengiringi pengebumian dalam suasana hiba sebagai penghormatan terakhir buat Allahyarham.

Iklan
Iklan

Turut hadir Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek.

Terdahulu, Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Taiping hari ini mendapati punca kematian pelajar itu ialah akibat jerutan pada leher.

Iklan

Dalam pada itu, ibu pelajar berkenaan menyifatkan anaknya sebagai seorang yang baik, mendengar kata dan tidak pernah melawan selain disenangi rakan-rakan serta guru.

"Cikgu-cikgu yang datang turut menyifatkan arwah sebagai seorang yang baik... memang semua terkejut dengan pemergiannya,” katanya kepada pemberita di sini malam ini.

Iklan

Beliau juga berkata, perasaannya amat sukar digambarkan dengan kata-kata susulan pemergian anaknya itu.

"Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Saya sendiri tidak tahu hendak cakap apa, memang tidak terkata,” kata wanita itu sambil menambah anaknya sebelum ini menyimpan cita-cita untuk menjadi doktor pakar namun hasrat tersebut tidak kesampaian.

Sementara itu, Fadhlina menerusi hantaran di Facebook memaklumkan beliau berkesempatan bertemu dengan ahli keluarga Allahyarham dan menyampaikan ucapan takziah secara peribadi.

"Kehilangan seorang anak pada usia yang begitu muda tentunya amat berat untuk ditanggung oleh keluarga," katanya.

Beliau berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) bersama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat akan terus memastikan keluarga Allahyarham menerima bantuan dan sokongan psikososial yang diperlukan khususnya mereka yang masih bersekolah.

Fadhlina berkata, beliau telah meminta semua pihak merujuk kepada kenyataan rasmi Polis Diraja Malaysia dan KPM turut menjalankan siasatan dalaman secara menyeluruh termasuk meneliti aspek keselamatan serta pengurusan sekolah.

"Saya juga berharap agar semua pihak mengamalkan pelaporan beretika dan bertanggungjawab mengenai insiden ini... hormati perasaan dan privasi keluarga Allahyarham serta elakkan sebarang spekulasi," katanya.

Beliau berkata, KPM terus memperkukuh Program Saringan Minda Sihat dengan kerjasama Kementerian Kesihatan supaya kesejahteraan mental murid sentiasa diberikan perhatian.

Fadhlina turut menyarankan semua ibu bapa agar terus mendekati anak-anak dan memerhati perubahan emosi mereka selain meluangkan masa untuk mendengar keluhan anak-anak serta memastikan mereka tahu bahawa mereka tidak perlu menghadapi kesukaran seorang diri. - Bernama