AMPANG – Polis meminta bantuan orang ramai mengesan seorang remaja lelaki berusia 14 tahun yang dilaporkan hilang di Taman Seraya, di sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan Muhammad Daniesh Rayqal Ramadi pada jam 7 pagi.
Iklan
Iklan
"Ibu kepada remaja terbabit menyedari anak lelakinya itu tiada di rumah bersama motosikal Yamaha Y15 berwarna hijau.
"Pengadu telah berusaha mencari remaja berkenaan di sekitar kawasan terbabit, namun masih gagal menemuinya sehingga kini," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Khairul Anuar berkata, remaja itu mempunyai ketinggian 172 sentimeter, berat 52 kilogram dan berkulit sawo matang.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan remaja itu diminta menghubungi Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya di talian 03-4289 7222.
"Maklumat juga boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor Wan Norfazreen Wan Fauzi menerusi talian 019-7265 122 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran," katanya.