Pelajar maut di sekolah: Nenek lihat Fiya terkulai, berlumuran darah dalam dewan sekolah

Iklan
Jameyah (kiri) dan Khyar (kanan) tidak dapat menahan sebak ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Parit Selamat, Yong Peng. Gambar kanan: Allahyarham Irene Sofiya

BATU PAHAT – “Dia sempat pandang muka nenek ketika dipangku sebelum pergi selamanya."

Demikian luah Jameyah Rabani, 66, ketika melihat cucunya, Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16, dalam keadaan berlumuran darah selepas dipercayai dibunuh di sebuah sekolah menengah di Yong Peng, dekat sini, petang Sabtu.

Iklan
Iklan

Bercerita mengenai kejadian itu, Jameyah memberitahu dua rakan cucunya itu datang ke rumah untuk bertanyakan keberadaan Irene Sofiya atau lebih mesra dipanggil Fiya pada kira-kira jam 5.30 petang.

Menurutnya, kedua-dua rakan berkenaan hairan apabila motosikal milik Fiya masih berada di sekolah, sedangkan mereka tidak menemuinya.

Iklan

Dia kemudian mengajak anak sulungnya Siti Nur Faeza, 45, yang baru sampai dari Kluang, ke sekolah yang terletak tiga kilometer dari rumah untuk mencari cucunya bersama dua rakan berkenaan.

"Kami pusing mencari di sekitar kawasan sekolah dan rakan-rakannya turut membantu sebelum salah seorang daripada mereka menemui Fiya di dalam dewan sekolah.

Iklan

"Saya kemudian terdengar rakannya menjerit memanggil saya supaya segera datang kerana darah sudah banyak," katanya ketika ditemui di Kampung Parit Selamat, Yong Peng pada malam Sabtu.

Kenderaan polis memasuki kawasan sekolah susulan penemuan mayat pelajar perempuan tingkatan empat yang dipercayai dibunuh.

Jameyah memberitahu, sebaik tiba di lokasi, dia melihat cucunya masih memberikan reaksi apabila namanya dipanggil, namun berada dalam keadaan lemah dan berlumuran darah.

"Dia sempat pandang muka nenek sebelum terkulai dan tidak bergerak lagi," katanya.

Jameyah reda dengan pemergian cucunya itu, namun amat sedih mengenangkan cucu yang dijaga penuh kasih sayang diperlakukan dengan kejam di kawasan sekolah.

Katanya, dia menjaga Fiya sejak berusia sembilan tahun selepas ibu remaja itu meninggal dunia akibat kanser hati.

Sementara itu, datuknya, Khyar Abas, 69, berkata, dia tidak menyangka perbualan bersama cucunya ketika bersarapan pada pagi sebelum kejadian menjadi pertemuan terakhir mereka.

Katanya, dia sempat bertanyakan sama ada Fiya sama ada mahu mengikut neneknya menghadiri kenduri perkahwinan di kampung, namun cucunya itu memaklumkan mempunyai kelas dalam talian pada jam 11 pagi.

Malah, Fiya turut mempunyai kelas tambahan di sekolah pada jam 2 petang.

"Kami memang tinggal bertiga sejak Fiya berusia sembilan tahun. Dia seorang yang tidak pernah menyusahkan hati atuk dan nenek serta kuat belajar," katanya.