BENTONG - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Pahang akan menganjurkan Temasya Orang Pahang 2026 (TOP) pada 9 hingga 11 Oktober ini di Dataran Bentong, Pahang.
TOP merupakan sebahagian daripada 15 Program Pelancongan Budaya yang dianjurkan JKKN di seluruh negara sebagai usaha memperkenalkan keunikan seni dan budaya tempatan kepada pelancong.
Ia mengetengahkan pelancongan budaya dengan memperkenalkan masyarakat, adat, makanan, kraf tangan, permainan tradisional dan warisan setempat kepada pengunjung.
Pelbagai pengisian seni dan budaya turut melengkapkan pengalaman pengunjung menerusi persembahan kesenian, bengkel seni budaya, pertandingan, demonstrasi permainan tradisional serta aktiviti interaktif yang memberi peluang kepada masyarakat mengenali dan mencuba sendiri elemen budaya yang diketengahkan.
Sepanjang tiga hari penganjuran, orang ramai berpeluang meneroka keunikan identiti 11 daerah di Pahang yang dihimpunkan di satu lokasi.
Konsep perkampungan budaya yang diketengahkan pada TOP bukan sekadar berbentuk pameran, malah memberi peluang kepada pengunjung untuk mencuba sendiri pelbagai aktiviti seni yang jarang diketengahkan secara terbuka.
Antaranya termasuk demonstrasi pembuatan tempok kepala Orang Asli Semelai, bengkel muzik gamelan, persembahan Gendang Cina 24 Musim serta aksi sukan tradisional seperti menyumpit, memanah dan gasing pangkah.
Pentas utama temasya turut dimeriahkan dengan penampilan khas penyanyi Datuk Ramli Sarip dan turut diserikan dengan kemunculan maestro lagu rakyat terkenal, Roslan Madun.
Turut membuat penampilan ialah bakat muda seperti Baiq Balqis dan Sul Bahari yang bakal menyajikan persembahan muzik merentasi generasi.
TOP bakal dimeriahkan dengan pengisian program menarik seperti food fighter fest, serambi kopi dan deretan gerai jualan makanan tular.
Turut mewarnai jadual padat temasya ialah pencarian bakat ‘Mencari Sudirman’, aktiviti fun run serta Senam Seni 2.0 bersempena dengan Hari Sukan Negara.
Pengunjung turut berpeluang menyaksikan tarian labi-labi, tarian piring Pahang dan tarian Orang Asli Jahut.
Pelbagai pertandingan turut diadakan bagi mencungkil bakat, antaranya tarian gamelan, memasak asam rong, mencari Puspawangi Pahang, peragaan busana tradisional Pahang, qasidah, rentak tari Pahang dan pertandingan mewarna.
Selain itu, pengunjung boleh mendapatkan pelbagai perkhidmatan di reruai agensi kerajaan seperti saringan kesihatan dan pergigian, semakan serta pembayaran saman, demonstrasi kebakaran, Jualan Rahmah dan Agro Madani.
Majlis perasmian dijangka berlangsung pada 10 Oktober jam 8.30 malam. Maklumat lanjut boleh diperoleh menerusi laman sesawang www.jkkn.gov.my, Facebook MySeniBudaya dan media sosial JKKN Pahang.