SUNGAI PETANI – Hanya sepasang selipar dan kacang rebus dipercayai milik seorang warga emas yang hilang selepas kereta dipandunya terjunam ke dalam sungai di Jalan Lubuk Segintah-Lubuk Kawah, Bukit Selambau dekat sini pada Sabtu.
Anak mangsa, Mohd Noor Mat Yusof, 43, berkata, barangan tersebut ditemui selepas kereta Proton Wira yang dipandu bapanya, Mat Yusof Hashim, 77, berjaya dibawa naik ke darat menggunakan kren.
“Saya dan keluarga berasa sangat sedih dan bimbang kerana bapa masih belum ditemui.
“Hanya beberapa barangan peribadi seperti selipar dan sedikit makanan ringan iaitu kacang rebus ditemui di dalam kereta tersebut.
“Sehingga kini, operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih giat dijalankan oleh pasukan penyelamat,” katanya.
Menurut Mohd Noor, ketika kejadian bapanya dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah di Felda Teloi Timur selepas bertemu ahli keluarga bakal isterinya di Sidam Kanan.
Katanya, sebelum kejadian, bapanya memaklumkan hasrat untuk bertemu keluarga bakal isteri bagi membincangkan beberapa perkara berkaitan perkahwinan mereka yang dijadual berlangsung pada Disember ini.
“Bapa keluar dari rumah sebelum waktu Asar dan sempat berpesan kepada anak sulung saya, Mohd Aiman Affandi, 17, yang tinggal bersamanya sejak kematian ibu lebih lapan bulan lalu supaya tidak menunggunya kerana kemungkinan dia akan pulang lewat.
“Kami terkejut apabila menerima panggilan daripada pihak polis kira-kira jam 2 pagi yang memaklumkan bapa hilang selepas keretanya terjunam ke dalam sungai,” katanya.
Sementara itu, menantu mangsa, Siti Syarifah Mohd Zain, 43, berkata, sejak kematian ibu mentuanya pada penghujung Februari lalu, Mat Yusof sering meluahkan rasa sunyi.
Menurutnya, bagi menemani warga emas itu, keluarga bersetuju membenarkan Mohd Aiman tinggal bersama datuknya.
“Bapa bekerja sebagai penoreh getah dan kami membenarkan anak sulung tinggal bersamanya bagi membantu menguruskan keperluan harian serta menemaninya.
“Kami berharap dan berdoa agar bapa ditemui segera serta bersedia menghadapi apa juga kemungkinan,” katanya.
Terdahulu, tular rakaman kamera papan pemuka yang menunjukkan sebuah Proton Wira dipandu mangsa terbabas ke kiri jalan sebelum terjunam ke dalam sungai.
Operasi SAR digerakkan sejurus polis menerima maklumat kira-kira jam 1 pagi Sabtu, namun sehingga kini mangsa masih belum ditemui.