Penunggang mabuk lawan arus, langgar dua peserta marathon

Iklan
Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil membantu siasatan.

KUALA LUMPUR - Seorang penunggang motosikal dipercayai berada dalam mabuk bertindak melawan arus sebelum melanggar dua peserta larian Standard Chartered Marathon (KLSCM) 2026 di Jalan Munshi Abdullah di sini pada Sabtu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPK Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 6.15 pagi ketika laluan berkenaan ditutup bagi acara larian tersebut.

Iklan
Iklan

Menurutnya, siasatan awal mendapati penunggang motosikal berkenaan bersama pembonceng, lelaki berusia 19 tahun telah melepasi laluan yang ditutup menggunakan kon.

"Penunggang telah diarahkan berhenti oleh anggota polis yang sedang menjalankan penugasan penutupan jalan.

Iklan

"Bagaimanapun, penunggang dipercayai bertindak melarikan diri secara melawan arus sebelum melanggar dua peserta marathon yang sedang berlari," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Mohd Zamzuri berkata, akibat kemalangan itu, seorang peserta wanita berusia 50 tahun mengalami kecederaan di bahagian leher dan sedang menerima rawatan di Prince Court.

Iklan

"Seorang lagi peserta lelaki berusia 41 tahun mengalami kecederaan pada lutut kanan dan tangan.

"Saringan awal alkohol terhadap penunggang menunjukkan keputusan positif dengan bacaan EBA sebanyak 164mg/100ml," katanya.

Beliau berkata, penunggang dan pembonceng kemudiannya dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi pengambilan sampel darah dan air kencing untuk tujuan siasatan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 44(1A)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan," katanya.

Menurutnya, penunggang motosikal direman selama tiga hari bermula 3 hingga 5 Oktober, manakala pembonceng direman selama dua hari sehingga 4 Oktober.

"Kedua-duanya ditahan reman di Lokap Balai Polis Dang Wangi bagi membantu siasatan.

"Orang ramai atau saksi kejadian yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.