SUNGAI PETANI - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang warga emas disyaki terjatuh ke dalam sungai bersama kenderaannya di Jalan Lubuk Segintah - Lubuk Kawah dekat Bukit Selambau di sini kira-kira jam 1 pagi Sabtu masih diteruskan sehingga kini.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, siasatan awal mendapati kemungkinan mangsa memandu kenderaannya iaitu Proton Wira warna kuning dari arah Jalan Kuala Ketil menghala ke Felda Teloi Timur ketika kejadian sebelum terjatuh.
Menurutnya, pada jam lebih kurang 1 pagi Sabtu, Pejabat Pertanyaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda menerima panggilan telefon daripada orang awam memaklumkan satu kemalangan jalan raya melibatkan sebuah kereta terbabas dan jatuh ke dalam sungai terbabit.
"Mangsa dikenali Mat Yusof Hashim, 77, dari Jalan Masjid, Felda Teloi Timur dipercayai memandu kenderaan tersebut.
"Hasil siasatan awal mendapati, apabila tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai hilang kawalan menyebabkan kenderaan tersebut terbabas dan jatuh ke dalam sungai," katanya.
Beliau berkata, pada awalnya mangsa dipercayai tenggelam bersama kenderaan tersebut, namun setelah kereta dinaikkan ke darat menggunakan kren, pemeriksaan mendapati warga emas terbabit tiada.
"Sehubungan itu, pihak bomba meneruskan operasi mencari dan menyelamat di kawasan sekitar sungai," katanya.
Beliau berkata, akibat kejadian, kenderaan terbabit mengalami kerosakan keseluruhan termasuk bampar hadapan, bonet hadapan, pintu kiri dan kanan serta cermin hadapan dan belakang, dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Muda untuk tindakan lanjut.
Katanya, setakat ini, pegawai penyiasat kes telah berhubung dengan waris mangsa.
Polis juga meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta tampil atau hubungi balai terdekat.