KUANTAN - Ruang konkrit di atas bumbung kediaman dimanfaatkan sepenuhnya oleh seorang bapa kepada lima anak dengan mengusahakan kira-kira 300 pokok nanas jenis MD2.
Lebih menarik, tanaman berkenaan bukan untuk dikomersialkan atau dijual, sebaliknya hasil tuaian dikongsi bersama jiran serta rakan sebagai sedekah.
Itulah yang dilakukan Pengerusi Eksekutif Masjid Bandaraya KotaSAS, Izudin Muhamad Amin, 49, yang memilih ruang berkenaan untuk meneruskan minatnya terhadap aktiviti bercucuk tanam menggunakan kaedah tanaman dalam polibeg.
Menurutnya, idea tersebut tercetus daripada hasrat untuk memperkenalkan konsep pertanian bandar di kawasan perumahan di Taman Springvale Residences, KotaSAS.
“Pada waktu itu, saya sebagai pengerusi persatuan penduduk di sini perlu memulakan usaha pertanian ini terlebih dahulu. Saya tampil dengan idea yang agak luar kotak kerana kekangan utama di kawasan perumahan ini ialah tanah.
“Jadi, saya memilih untuk memanfaatkan kawasan rumah sendiri dan disebabkan rumah saya ini dua tingkat, bahagian atas bumbung menggunakan struktur konkrit sepenuhnya serta boleh dijadikan kebun,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Springvale Residences, KotaSAS di sini.
Izudin memberitahu, pemilihan nanas dibuat berdasarkan kesesuaian faktor persekitaran dan rutin hariannya.
Menurutnya, tanaman nanas sesuai dengan keadaan cuaca di kawasan berkenaan dan pemilihannya turut mengambil kira kekangan masa kerana beliau tidak bertani secara sepenuh masa.
“Jadi, sebab itu saya cuba tanam nanas kerana ia sejenis tanaman kaktus dan penyelenggaraan serta cara menguruskannya tidak terlalu membebankan,” katanya.
Berkongsi lanjut, Izudin berkata, usaha itu dimulakan pada 2021 dengan 100 anak pokok nanas MD2 yang diperoleh dari Pontian, Johor.
Tambahnya, tanaman berkenaan terlebih dahulu disemai dan ditanam di bahagian bawah rumah sebelum dimasukkan ke dalam polibeg untuk diangkat ke atas bumbung menggunakan kren.
“Untuk polibeg ini, kita buat sedikit kajian kerana kita perlu ada campuran yang baik dan kita semai anak pokok di bawah.
“Selepas tanam di bawah, barulah kita angkat polibeg itu ke atas bumbung rumah saya,” katanya.
Beliau memaklumkan, walaupun penggunaan kren menyebabkan kos permulaan agak tinggi, namun usaha berkenaan dilakukan sebagai hobi.
Ujarnya, tanaman nanas mengambil masa kira-kira 12 hingga 14 bulan untuk dituai dan hasil pertama diperoleh sekitar 2022.
“Pada musim pertama, 100 pokok yang ditanam semuanya berbuah dan hanya sebiji sahaja rosak sebab dimakan musang.
“Tetapi untuk pusingan seterusnya, jumlah pokok ditambah menggunakan sulur atau anak benih daripada tanaman terdahulu dan kini mencecah 300 pokok,” kongsinya lagi.
Izudin memaklumkan, hasil tanaman berkenaan tidak dijual kerana tujuan asalnya adalah sebagai hobi, selain mahu berkongsi hasil dengan komuniti setempat.
“Saya tahu harga nanas di pasaran boleh mencecah RM10 sekilogram, manakala sebiji buah yang grednya baik mampu mencapai berat sehingga tiga kilogram.
“Jadi, dengan anggaran RM20 sebiji, 300 pokok boleh menghasilkan nilai keseluruhan sekitar RM6,000.
“Tapi saya memilih untuk bersedekah kepada jiran dan kawan-kawan,” ujarnya yang turut memanfaatkan ruang di sekitar rumah dengan menanam pokok markisa.