SHAH ALAM - IHH Healthcare Malaysia menganjurkan program ‘Strike in Motion’ Media Bowling Engagement 2026 bagi mengeratkan hubungan bersama komuniti media dan menyediakan ruang untuk berdialog serta berkongsi pandangan mengenai perkembangan industri.
Program yang berlangsung dalam suasana santai itu menghimpunkan kira-kira 70 peserta terdiri daripada wakil media, pasukan IHH Healthcare Malaysia serta wakil enam hospital IHH di Kuala Lumpur.
Enam hospital berkenaan ialah Prince Court Medical Centre, Gleneagles Hospital Kuala Lumpur, Pantai Hospital Kuala Lumpur, Pantai Hospital Cheras, Pantai Hospital Ampang dan Pantai Hospital Klang.
Ketua Pemasaran dan Komunikasi IHH Healthcare Malaysia, Khairul Annuar Yusof berkata, program berkenaan memberi peluang kepada pihaknya mengeratkan hubungan dengan rakan media sedia ada selain membina hubungan baharu.
Menurutnya, hubungan yang kukuh bersama media perlu dibina menerusi penglibatan yang konsisten dan bersifat dua hala.
“Media memainkan peranan penting dalam menghubungkan organisasi dengan komuniti yang kami berkhidmat.
“Bagi kami, hubungan yang kukuh bersama media bukan sekadar melalui siaran media dan interaksi harian namun dibina dengan meluangkan masa untuk mendengar, memahami perspektif yang berbeza serta mengadakan perbualan secara terbuka,” ujarnya.
Tambah beliau, program itu turut menjadi platform untuk IHH mendengar pandangan rakan media mengenai perkembangan industri, termasuk perubahan cara audiens mendapatkan maklumat dan kemunculan platform baharu.
Jelasnya, ini kerana cara masyarakat mendapatkan maklumat hari ini jauh berbeza berbanding beberapa tahun lalu dan perubahan itu akan terus berlaku.
“Sebagai organisasi yang sentiasa berhubung dengan pelbagai pihak berkepentingan, kami perlu memahami bagaimana audiens berfikir, apa yang mereka perlukan dan bagaimana mereka mahu menerima maklumat.
"Pandangan daripada pengamal media membantu IHH memahami perubahan tingkah laku audiens dengan lebih dekat, sekali gus menyesuaikan pendekatan komunikasi agar kekal relevan dan berkesan, katanya.
Tambah Khairul Annuar, dunia komunikasi sentiasa berubah memandangkan orang ramai mempunyai lebih banyak pilihan platform dan cara untuk mendapatkan maklumat.
“Sebab itu kami amat menghargai peluang untuk berdialog dengan rakan media.
"Perkongsian mereka memberi pemahaman yang lebih mendalam tentang perubahan dalam tingkah laku audiens dan membantu kami menyesuaikan cara kami berkomunikasi,” jelasnya.
Program berkenaan turut merangkumi saringan kesihatan percuma dan aktiviti kesejahteraan yang disediakan oleh hospital-hospital IHH yang mengambil bahagian.