MCMC-SPRM perluas kerjasama penguatkuasaan, pencegahan rasuah

Iklan
Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din (kanan) dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman.

CYBERJAYA - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang penguatkuasaan, pencegahan rasuah dan pemerkasaan integriti menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai hari ini.

Menurut kenyataan MCMC, kerjasama itu memberi tumpuan kepada usaha mendepani cabaran yang semakin kompleks dalam persekitaran digital.

Iklan
Iklan

Majlis pertukaran MoU berlangsung di ibu pejabat MCMC di sini, membabitkan Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman.

Menurut MCMC, MoU berkenaan menggariskan pendekatan rentas agensi yang lebih terselaras melalui perkongsian kepakaran dalam penguatkuasaan, penyiasatan, teknologi digital, pengurusan maklumat dan pencegahan rasuah.

Iklan

MCMC berkata, kedua-dua agensi juga akan memperluas kerjasama dalam pembangunan pengetahuan dan kemahiran melalui program advokasi, latihan, perkongsian ilmu serta pembangunan kapasiti.

Dalam masa sama, teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) akan dimanfaatkan bagi membantu mengesan, mencegah dan mengurus risiko salah guna kuasa serta penyelewengan secara lebih sistemik dan berkesan.

Iklan

Menurut MCMC, inisiatif berkaitan boleh diperluaskan kepada industri dan pemegang taruh berkaitan.

"Kerjasama itu dijangka meningkatkan kesiapsiagaan kedua-dua agensi dalam menangani risiko rasuah dan salah laku yang semakin kompleks, di samping menyokong akauntabiliti serta penyampaian perkhidmatan awam yang berkesan," katanya.

MCMC berkata, selaras dengan peranannya sebagai penggerak ekosistem komunikasi dan multimedia negara, pihaknya akan terus memainkan peranan pemudah cara dalam memperluas sinergi antara agensi.

"Usaha itu ke arah membentuk budaya kerja yang lebih telus, beretika dan bertanggungjawab, sekali gus meningkatkan keyakinan rakyat, industri dan pelabur terhadap institusi awam serta ekosistem komunikasi dan multimedia negara," kata kenyataan itu.