KOTA KINABALU - Seorang lelaki ditemukan lemas selepas kenderaan dipandunya terbabas sebelum terjunam ke dalam parit di Jalan Kawakaan, di sini, petang Khamis.
Mayat lelaki berusia 27 tahun itu ditemukan pada jam 10.28 pagi Jumaat, kira-kira dua kilometer dari lokasi kenderaannya terbabas.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Noor Sherriyana Bohari berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 4.55 petang, Khamis.
Katanya, sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi yang terletak kira-kira 16 kilometer dari BBP Lintas.
"Menurut laporan, berlaku kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Honda WR-V yang terbabas sendiri sebelum terjunam ke dalam parit.
"Pasukan kemudian menjalankan size-up dan mendapati tiada mangsa di dalam kenderaan berkenaan. Pemeriksaan turut dibuat di sekitar lokasi bersama pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Bagaimanapun, sehingga jam 8 malam, mangsa masih belum ditemukan dan operasi ditangguhkan," katanya dalam kenyataan.
Noor Sherriyana berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) disambung semula pada Jumaat.
"SAR dilakukan di kawasan parit yang berhubung dengan anak sungai sebelum mangsa berjaya ditemukan anggota kami kira-kira dua kilometer dari lokasi kenderaannya dilaporkan terbabas.
"Mangsa disahkan meninggal dunia dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.
Menurutnya, operasi ditamatkan pada jam 12 tengah hari selepas pihaknya memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian.