PENGANJURAN Malaysia Halal Lifestyle Festival (MHLife) 2026 buat pertama kalinya oleh Islamic Tourism Centre (ITC) di Dataran Karnival, Stadium Shah Alam pada 23 hingga 25 Oktober ini bakal menghimpunkan pelbagai tarikan gaya hidup dan pelancongan mesra Muslim.
Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Chua Choon Hwa berkata, penganjuran MHLife 2026 mencerminkan potensi besar negara dalam pasaran pelancongan Muslim dari serata dunia.
“Perkembangan ini memberi peluang kepada Malaysia untuk terus memperkukuh kedudukan dalam pasaran ini, selain memberi manfaat kepada pemain industri pelancongan, komuniti tempatan dan ekonomi negara,” katanya pada Majlis Prapelancaran MHLife 2026 di Istana Budaya, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) MOTAC, Datuk S. Surrendren dan Ketua Pengarah ITC, Mohammad Faisal Abu Suaib Khan.
Sementara itu, Mohammad Faisal berkata, MHLife 2026 menjadi festival gaya hidup dan pelancongan mesra Muslim premier yang menghimpunkan pelbagai tawaran merangkumi makanan, fesyen sopan, seni dan budaya warisan, pelancongan, beli-belah serta hiburan dalam satu destinasi.
“ITC menyasarkan kehadiran 300,000 pengunjung dan 250 penyertaan pempamer sepanjang tiga hari penganjuran MHLife 2026,” katanya.
Menurutnya, persembahan seni tradisional Makyung yang mendapat pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan akan menjadi antara tarikan utama festival itu.
Ujarnya, dengan Visit Malaysia 2026 yang sedang berlangsung dan Sukan SEA 2027 yang bakal menyusul, MHLife 2026 menyediakan satu lagi platform nasional untuk mengetengahkan kekuatan Malaysia sebagai destinasi pelancongan mesra Muslim.
Festival berlangsung dari 10 pagi hingga 10 malam itu menawarkan kemasukan percuma dan ia melibatkan 16 pavilion mewakili 13 negeri serta tiga Wilayah Persekutuan.
MHLife 2026 merupakan sebahagian daripada Islamic Tourism Month 2026 anjuran ITC.
Pada majlis tersebut, ITC turut mengumumkan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Malaysian Association of Hotels (MAH) yang memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan pengiktirafan dan nilai pasaran Muslim Friendly Tourism and Hospitality Assurance and Recognition (MFAR).