SHAH ALAM - Kerajaan diminta memastikan usaha mengekalkan kawasan jelapang padi turut disusuli jaminan pendapatan yang munasabah kepada pesawah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Nurul Syazwani Noh berkata, pewartaan kawasan jelapang padi perlu disertai jaminan ekonomi kepada pesawah dan pemilik tanah terutama jika kawasan itu perlu dikekalkan sebagai kawasan pengeluaran makanan demi kepentingan strategik negara.
"Sekiranya tanah mereka perlu dikekalkan sebagai sawah, kerajaan juga mempunyai tanggungjawab memastikan pengorbanan itu tidak menyebabkan mereka terus miskin di atas tanah sendiri.
"Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri perlu meneliti struktur harga serta pulangan sebenar kepada pesawah berdasarkan kos semasa.
Nurul Syazwani turut mencadangkan insentif khas diberikan kepada pemilik tanah yang mengekalkan tanah mereka sebagai kawasan pengeluaran makanan.
Katanya, sebarang cadangan pewartaan kawasan jelapang juga perlu dibuat melalui libat urus sebenar bersama pesawah dan pemilik tanah supaya keputusan yang dibuat mengambil kira realiti kehidupan mereka.
"Jangan apabila negara memerlukan beras, kita bercakap mengenai kepentingan pesawah. Tetapi apabila pesawah bercakap mengenai kos, hutang dan pendapatan mereka, suara mereka pula tenggelam,” katanya.
Nurul Syazwani memberitahu, penurunan SSR beras kepada 54.3 peratus bukan sekadar menunjukkan isu kekurangan tanah sawah, sebaliknya menggambarkan keseluruhan ekosistem pengeluaran padi negara memerlukan perhatian lebih serius.
"Tanah sawah tidak menghasilkan padi dengan sendiri. Di belakang setiap hektar sawah ada pesawah yang perlu menyara keluarga.
"Jika kerajaan benar-benar mahu meningkatkan kembali SSR negara, pastikan menjadi pesawah masih mampu memberikan kehidupan yang bermaruah dan pendapatan yang munasabah.
“Selamatkan pesawah, barulah kita boleh menyelamatkan jelapang padi dan keterjaminan makanan negara," tambah beliau.