KUALA LUMPUR - Malaysia berhasrat menarik pelaburan dari Perancis dalam beberapa sektor termasuk pemprosesan nadir bumi, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau menegaskan bahawa kerjasama dalam sektor nadir bumi perlu berasaskan kepercayaan, dengan Malaysia berusaha memperluas aktiviti pemprosesan secara selamat tanpa menjejaskan alam sekitar.
Anwar berkata demikian dalam ucapan pembukaannya sebelum mesyuarat dua hala dengan Presiden Perancis Emmanuel Macron yang diadakan di Bangunan Sultan Abdul Samad yang bersejarah di sini pada Selasa.
Macron turut menyuarakan pandangan yang sama sambil menyatakan bahawa nadir bumi merupakan antara bidang kerjasama utama yang ingin diterokai Perancis bersama Malaysia menerusi perkongsian yang berteraskan sikap saling menghormati dan manfaat bersama.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Sementara itu, Anwar berkata, pelaburan Perancis di Malaysia terus meningkat dengan sektor aeroangkasa, pertahanan dan semikonduktor antara bidang yang menawarkan peluang untuk memperluas kerjasama.
Mengenai pendidikan dan kebudayaan, Anwar menyentuh kerjasama yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara, termasuk peluang untuk pelajar Malaysia melanjutkan pengajian di universiti di Perancis.
Menyentuh perkembangan antarabangsa, Anwar mengalu-alukan pendirian Perancis mengenai Palestin dan Semenanjung Gaza, sambil menyifatkannya sebagai suara hati nurani dalam mempertahankan nilai kemanusiaan.
Beliau turut berkata, Malaysia mengambil pendirian tegas menentang perang Rusia di Ukraine, namun pada masa sama terus mengekalkan hubungan dengan Rusia.
Bercakap bersama Anwar, Macron turut menyatakan minat untuk memperluas kerjasama dalam bidang semikonduktor, kecerdasan buatan (AI) dan pusat data, selain hubungan pertahanan, keselamatan dan ekonomi.
Presiden Perancis itu berkata, kedua-dua negara boleh memperkukuh kedaulatan dan kemerdekaan masing-masing tanpa mengambil pendekatan konfrontasi terhadap kuasa besar.
"Tiada dwistandard bagi Perancis.
"Kami berpihak kepada Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan menyokong hak rakyat, kedaulatan serta keutuhan wilayah di mana-mana sahaja,” katanya.
Macron turut merujuk kepada Deklarasi New York pada Julai 2025 dan pengiktirafan Perancis terhadap Palestin sebagai sebahagian daripada usaha diplomatik negara itu dalam isu berkenaan.
Beliau berkata, Perancis telah bekerjasama dengan beberapa negara untuk mencari jalan penyelesaian secara aman bagi menghentikan perang dan menangani situasi kemanusiaan di rantau itu.
Macron turut menegaskan semula sokongan Perancis terhadap kedaulatan Ukraine dalam menghadapi pencerobohan Rusia.
"Jadi, pendirian kami dalam hal ini boleh dijangka dan kami tetap setia kepada rakan-rakan kami,” katanya.
Macron sedang mengadakan lawatan rasmi dua hari ke Malaysia bermula Isnin atas jemputan Anwar, yang merupakan lawatan pertamanya ke negara ini sejak memegang jawatan pada Mei 2017.
Menurut kenyataan Kementerian Luar yang dikeluarkan pada Isnin, lawatan itu memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan hubungan Malaysia-Perancis ke tahap Perkongsian Strategik, merangkumi perdagangan dan pelaburan, mineral kritikal, peralihan tenaga, pertahanan serta pendidikan.- Bernama